Malaysia Dateline

Pemandu Mabuk: Hukuman penjara 20 tahun masih tidak memadai

Keputusan kerajaan meningkatkan hukuman penjara kepada pemandu mabuk sehingga 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini, dianggap masih belum memadai susulan kes kemalangan maut yang semakin membimbangkan dalam negara.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil, cadangan mengenakan denda sehingga RM100,000 walaubagaimanapun diakuinya adalah kadar yang tinggi mengikut undang-undang.

Namun tegasnya, kemalangan disebabkan pemandu mabuk wajar dikenakan hukuman lebih berat dengan tambahan pelaksanaan hukuman sebat.

“Denda RM100,000 dan hukuman penjara yang ditingkatkan itu kalau diikutkan prinsip undang-undang, memang tinggi.

“Tapi, saya juga melihat bahawa hukuman berat ke atas pesalah sahaja tidak mencukupi untuk mendidik rakyat dan membuatkan mereka benar-benar faham akan kesan daripada perbuatan mereka.

“Untuk memberikan satu lagi langkah pencegahan yang serius, perlu ditambah hukuman sebat supaya ia boleh jadi satu amaran serius kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Amanah, pada 17 Februari lalu.

Setakat ini Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Jika melibatkan kematian Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan digunapakai yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Sementara itu, menjelaskan ketidakpuasan hati segelintir rakyat Malaysia terhadap pindaan meningkatkan tempoh hukuman yang dicadangkan, Faiz akui bahawa untuk apa-apa jenayah sekalipun, sememangnya hukuman penjara adalah tidak mencukupi.

Kerana itu menurutnya, ia perlu seiring dengan kempen kesedaran serta pengawalannpenjualan arak secara komprehensif.

Memperincikan lagi kenyataannya, Faiz menekankan bahawa peraturan khusus melarang orang ramai meminum arak di tempat awam adalah penting dengan larangan mengambil minuman mengandungi alkohol selepas jam 12 malam.

Jelasnya, beberapa pindaan undang-undang perlu dilakukan dengan membabitkan penjualan minuman beralkohol yang dibolehkan untuk dijual di premis dan kedai-kedai tertentu sahaja.

“Penjualan arak ini perlu dikawal kerana situasi sekarang memperlihatkan adanya kedai-kedai runcit menjual arak yang menyebabkan minuman itu mudah diperolehi.

“Kawalan waktu minum arak dikawasan terbuka juga perlu dihadkan sampai pukul 12 tengah malam sahaja,” katanya.

Justeru menurut Adun Permatang Pasir itu, kesedaran kepada rakyat Malaysia perlu melibatkan pendekatan yang lebih berkesan seperti kempen mendidik dari peringkat sekolah atau ketika mengambil lesen memandu.

Malah katanya, perbuatan mabuk tidak sahaja mendatangkan kesan kepada jenayah pemanduan sahaja, bahkan melibatkan kepada perbuatan jenayah lain yang boleh dilakukan individu yang ketika itu berada di bawah pengaruh alkohol.