Malaysia Dateline

Pemandu mabuk: Jaga kebajikan mangsa

Cadangan pindaan oleh YB Menteri Pengangkutan terhadap Seksyen 41-45 Akta Pengangkutan Jalan Raya merupakan perkara yang baik dalam menangani isu pemandu mabuk yang kerap kali berlaku seperti mana yang dilaporkan oleh media.

Namun begitu, saya kira ada beberapa perkara yang harus diteliti. Antaranya ialah:

1. Soal hukuman, ia merupakan suatu usaha yang sangat baik oleh kerajaan sekiranya pindaan ini berjaya dilakukan. Tetapi kita harus sedar, usaha pencegahan juga harus menjadi fokus perbincangan kita.

2. Usaha yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan sekarang sebenarnya telah dimulakan oleh YB Anthony Loke sebelum ini.

3. Statistik yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, sebanyak 67 kes kemalangan dan 3 kematian dicatatkan di Selangor sejak 5 bulan yang lalu.

Angka itu didapati sudah melebihi kes keseluruhan pada tahun 2018, iaitu 60 kemalangan dan tiga kematian. Manakala pada tahun 2019 pula merekodkan 56 kes kemalangan dengan empat kematian. Statistik ini jelas memberi cerminan bahawa solusi menyeluruh harus digerakkan.

4. Selain cadangan memperkasakan hukuman, kesedaran awam mengenai langkah pencegahan dan membela hak waris mangsa juga mesti diberi perhatian.

5. Di Singapura, menjual minuman beralkohol di outlet runcit dan konsumsi di ruangan awam adalah dilarang bermula 10.30 malam hingga 7 pagi keesokannya.

6. Pengharaman minum arak dan merokok di kawasan taman telah dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Selangor.

7. Pindaan yang menyeluruh haruslah dilakukan terhadap Akta Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67). Ganti rugi yang diberikan kepada mangsa hanyalah RM10,000 sahaja. Ianya pula tidak diberikan secara automatik kepada keluarga mangsa.

Ianya seperti juga ganti rugi kehilangan saraan dan perkhidmatan, keluarga mangsa perlu membuktikan tuntutan memenuhi syarat berkaitan. Proses ini jelas renyah dan boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk menyelesaikannya. Perkara ini sangat menyukarkan mangsa.

8. Mengikut perundangan Islam, waris mangsa yang meninggal dunia boleh menerima ganti rugi (disebut diyat) hampir RM800,000.

Nilai diyat bersamaan 100 ekor unta atau 1,000 dinar emas boleh dinilaikan dengan kadar semasa (1 dinar ialah 4.25 gram emas berketulenan 22k (91.7 peratus).

10. Fokusnya tidak kepada Akta 333 kerana sabitannya memperuntukkan hukuman tidak menjamin kelangsungan masa depan waris mangsa. Akta 67 yang menjadi sumber perundangan utama dalam pembelaan hak mangsa kemalangan jalan raya juga wajar dipinda dengan penuh siginifikan.

11. Isu ini mestilah dilihat dalam konteks yang holistik. Bukan sahaja semata-mata dalam aspek mengenakan hukuman kepada pemandu, tetapi lebih kepada kaedah pencegahan; sepertimana pepatah Arab “Al-Wiqoyah khairul Minal ‘ilaaj” iaitu mencegah lebih baik daripada merawat. Tuntasnya, disamping mempertingkatkan kadar hukuman, mekanisme pencegahan juga harus diperkasakan dalam setiap peringkat.

————————————

Penulis adalah Mantan Timbalan Menteri Kewangan, 
Ahli Parlimen Kubang Pasu