Malaysia Dateline

Pemandu mabuk: Muhyiddin buat kenyataan populis, tiada penyelesaian

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika ini tampil menyatakan kebimbangan terhadap isu pemandu mabuk, dibidas hanya membuat kenyataan bersifat populis bagi menutup kemelut politik Bersatu yang beliau sedang hadapi ketika ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin berkata, hanya selepas berlaku tiga kemalangan sehingga meragut dua nyawa, barulah Muhyiddin muncul mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) agar hukuman lebih berat dikenakan.

Sedangkan katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah lebih awal memulakan langkah meminda Akta 333 supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu dibawah pengaruh alkohol dan dadah, serta pemandu berbahaya.

“Kami menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai populis bagi mengalihkan kemelut politik yang beliau hadapi dalam parti Bersatu.

“Tiada penyelesaian yang tuntas,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pada sama sama, Shazni turut mengulas berhubung tindakan Muhyiddin yang membenarkan ‘orang baru’ dan Setiausaha Kerja memecat Pengerusi Bersatu dan empat pimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang lain.

Beliau berkata, meskipun Presiden Bersatu itu cuba menafikan pemecatan tersebut dengan mengatakan bahawa ‘keahlian tergugur dengan sendirinya kerana melanggar Perlembagaan Parti’, namun dakwa Shazni, Muhyiddin gagal.

“Penyokong bahkan pimpinan Bersatu marah dengan tindakan Muhyiddin kerana membenarkan ‘orang baru daripada Umno dalam Bersatu’ dan Setiausaha Kerja memecat Pengerusi Bersatu.

“Begitu juga dengan rakyat, berasa marah dan tertipu dengan tindakan beliau yang sebelum ini mengatakan rakyat muak dengan politik, tetapi hakikatnya beliau sendiri bermain sandiwara politik dalam kesempitan rakyat melawan Covid-19,” kata Shazni lagi.