Malaysia Dateline

Pemandu mabuk wajib dikenakan hukuman lebih berat

Pemandu mabuk yang menyebabkan kes kemalangan maut wajib dikenakan hukuman lebih berat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Selangor, Ustaz Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor itu berpendapat tindakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi terhadap pelaku terbabit lebih-lebih lagi apabila melibatkan kematian.

“Kemalangan akibat mabuk apatah lagi melibatkan nyawa adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Saya mencadangkan undang-undang yang sedia ada wajib diperketatkan terhadap pesalah jalan raya ini.

“Tidak cukup sekadar denda atau penjara malahan wajar gantirugi kepada waris mangsa dan tauladan perlu dikenakan semaksimum mungkin,” jelas Ustaz Fakhrulrazi lagi.

Kenderaan pacuan empat roda terbabas ke dalam longkang selepas memasuki laluan bertentangan seterusnya melanggar dua buah motosikal.

Tular di media sosial, seorang pemandu dipercayai mabuk telah merempuh tiga penunggang motosikal di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Difahamkan salah seorang daripada mangsa meninggal dunia, seorang patah kaki dan seorang lagi cedera.

Salah seorang mangsa mendakwa pemandu berseluar pendek berwarna merah itu merempuh mereka dari belakang.

“Dia (memandu) straight, dia terus hantam kitorang,” katanya.

Sementara itu, pemandu terbabit hanya memberitahu “saya pagi mabuk” selepas didesak orang awam di lokasi kejadian sama ada dia mabuk atau tidak.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, mangsa Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Dua lagi rakan mangsa yang cedera adalah penunggang Mohammad Hazid Mohd Kamil dan pembonceng Muhammad Anas Mokti, 27.

Mereka masing-masing dimasukkan ke zon kuning dan merah di hospital sama.

Ketiga-tiga mangsa adalah juruteknik sebuah kilang yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Namun, mereka dilanggar oleh pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang memasuki laluan bertentangan sejurus tiba di Jalan Kebun sebelum terbabas ke dalam longkang.

Bulan lalu, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim telah mendesak kajian semula dilakukan bagi memperketat undang-undang sedia ada terhadap kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.

Untuk rekod, sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018 manakala terdapat 212 kes pada 2017.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Dewan Rakyat pada 19 November lalu memberitahu pihaknya akan membuat kajian menyeluruh sebelum memuktamadkan keputusan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Untuk rekod, di Taiwan terdapat undang-undang memperuntukkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.