Malaysia Dateline

Pemandu mabuk: Walau sudah dalam kerajaan, Pas seru rakyat wujud gelombang solidariti

Pas menyeru rakyat Malaysia mewujudkan gelombang solidariti bagi menuntut pihak kerajaan memperketatkan undang-undang berkaitan arak dan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, sokongan rakyat negara ini perlu agar kerajaan bertindak tegas memandangkan sudah terlalu banyak kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

“Pas terus memberikan komitmen untuk memastikan undang-undang berkenaan arak dan pemandu di bawah pengaruh alkohol diperketatkan dan dikenakan tindakan tegas.

“Lebih membimbangkan, walaupun negara berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes yang ditahan pihak berkuasa melibatkan arak dan pemandu mabuk terus berlaku,” katanya hari ini dalam satu kenyataan dipetik dari Harakahdaily.

Sepanjang 2018, kematian berpunca daripada pemandu mabuk atau pemandu bawah pengaruh alkohol (DUI) ialah 54 kes, manakala yang mengalami cedera parah adalah 63 kes dan cedera ringan 63 kes.

Sehubungan itu, Pas, tegasnya akan memastikan penggubalan Akta Pengangkutan Jalan bersabit pemandu mabuk dipercepatkan seterusnya menguatkuasakan akta kawalan terhadap minuman arak terutama di premis terbuka.

Menurutnya, pemandu mabuk di Thailand, Vietnam dan Rusia yang bersalah digantung lesen, diperintah membayar ganti rugi wang tunai kepada keluarga mangsa serta perlu menjalani program khidmat masyarakat.

“Manakala di negara Islam seperti UAE dan Arab Saudi, pesalah bukan sahaja dipenjara, malah didenda dan disebat di khalayak ramai,” tambah Kamaruzaman lagi.