Pemandu Rapid KL mengaku bersalah

Pemandu Rapid KL mengaku bersalah

Pemandu bas Rapid KL yang melanggar tujuh kereta sehingga mencederakan empat individu yang dalam perjalanan dari Kampung Keramat menghala ke MRR2, minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan memasukkan dadah methamphetamine ke dalam badan.

Mymetro dipetik melaporkan Md Khairol Anuar Mohamad, 32, yang hadir ke mahkamah memakai baju hitam membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman terhadap tertuduh sementara menunggu laporan ujian air kencing.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Khairol didakwa memasukkan dadah methamphetamine ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 7.40 petang, pada 17 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rasid menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya menerusi isterinya, memohon dikurangkan jumlah jaminan dengan alasan perlu menyara anak yang masih kecil berusia lapan bulan selain mempunyai penyakit darah rendah dan masalah jantung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan lapan kenderaan membabitkan bas dan tujuh kereta terbabit dalam kemalangan, kira-kira 8 malam, 16 Ogos lalu.

Kemalangan itu bermula di hadapan bangunan Perusahaan Getah (RISDA) Jalan Ampang, di sini dan berakhir di simpang Jalan Ampang atau MRR2.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote