Pemandu teksi bantah khidmat Uber dan Grabcar

Oleh BORHAN AHMAD

Beratus-ratus pemandu teksi membuat bantahan terhadap terhadap khidmat teksi panggilan Uber, Grabcar dan meminta kerajaan mengharamkan kegiatan mereka di negara ini, dengan berhimpun di jalan raya menuju Parlimen.

Kehadiran mereka telah memenuhi jalan dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen mendesak kerajaan khasnya perdana menteri sendiri menghentikan khidmat teksi panggilan itu.

“Uber & Grabcar rompak kami, haramkan,” antara sepanduk yang dinaikkan oleh mereka.

Mereka juga menaikkan sepanduk “PM Najib, bantu kami haramkan Uber & Grabcar”, “Periuk nasi kami dalam bahaya” dan sebagainya.

Mereka juga menaikkan sepanduk “Syed Hamid Albar letak jawatan” merujuk kepada pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Ada juga sepanduk yang berbunyi “Selamatkan industri teksi, rombak Spad.”

Grabcar dan Uber adalah aplikasi atas talian yang menawarkan perkhidmatan memesan kereta melalui aplikasi laman sosial.