Malaysia Dateline

Pemandu teksi ditahan di bawah Sosma gusarkan keluarga

Tindakan polis menahan seorang pemandu teksi di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tanpa diberitahu kepada keluarga selepas  ditahan dan hilang begitu sahaja dikesali.

Dalam sidang media yang dibuat oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan peguam Zulhazmi Shariff, kedua-dua mereka mempertikaikan tindakan itu.

“Sebab itu semasa kami menjadi kerajaan dahulu kami cuba menghapuskan SOSMA dengan memanggil pihak polis bagi menjelaskannya.

“Pihak polis berkata, SOSMA masih diperlukan untuk melawan jenayah terancang dan seumpamannya.

“Sekarang dalam kes ini, apa jenayah terancang yang dilakukan oleh pemandu teksi ini sehingga sekarang masih ditahan dan tidak diketahui oleh keluarganya,” kata Khalid dalam sidang media itu.

Menurut Khalid, selepas empat hari hilang baru diketahui apa berlaku kepadanya selepas kakaknya meminta kenalannya yang juga anggota polis untuk menyemak apa berlaku kepada abangnya.

Selepas itu baru dapat disahkan pemandu teksi yang sudah 10 tahun memandu teksi kini ditahan polis di bawah Sosma.

“Selepas hilang selama 4 hari barulah keluarga tahu pemandu teksi berkenaan di tahan di Balai Polis Kuala Selangor,” kata Khalid.

Sementara itu Zulhazmi berkata, berdasarkan prosedur mana-mana kes dan sesiapa sahaja yang ditahan mesti dimaklumkan kepada keluarga melalui pihak polis.

“Dalam kes ini, keluarga tercari-cari sendiri sehingga mereka mahu membuat laporan polis,” katanya.

Zulhazmi   mengetahui pemandu berkenaan ditahan dibawah Akta Antipemerdagangan Manusia tetapi telah ditahan selama 28 hari.

“28 hari bermakna ia adalah di bawah SOSMA. Tetapi ada juga kes yang ditahan di bawah Antipemerdagangan Manusia Kanun Jenayah, kenapa kes ini diguna bawah SOSMA,” soal beliau.

Zulhazmi berkata, pihaknya masih belum mendapat maklumat lengkap kerana tidak dibenarkan lagi untuk berjumpa dengan pemandu berkenaan.

“Saya sudah beberapa kali buat panggilan ke balai polis Kuala Selangor untuk maklum mahu berjumpa OKT, dan hari ini pihak polis minta saya maklum pada IPD bila mahu berjumpa,” katanya.

Justeru, Khalid menggesa pihak polis memberi penjelasan berhubung penahanan pemandu teksi berkenaan kerana setakat ini masih belum ada mana-mana laporan tangkapan SOSMA di Kuala Selangor.

“Pihak polis boleh jelaskan dan terangkan kepada umum dan keluarga, serta memberi jaminan tidak akan ada salah guna kuasa dan kuku besi dalam kes ini,” katanya.

Pemandu berkenaan Mohd Syaiful Mohd Zin, 38, dikatakan telah ditahan pihak polis ketika beliau dalam perjalanan mengambil penumpang di Kuala Selangor kira-kira pukul 2.45 pagi pada 25 Mac 2021.

Mohd Syaiful mempunyai empat orang anak dan salah seorang anaknya adalah OKU, beliau sudah 10 tahun membawa teksi dan tidak pernah ada rekod polis.

Isteri beliau yang juga seorang suri rumah gusar ekoran beliau tidak pulang ke rumah di saat anak-anak sudah mula bersekolah.