Tidak wajar mogok, kerajaan belum buat keputusan, kata Abdul Aziz

Tidak wajar mogok, kerajaan belum buat keputusan, kata Abdul Aziz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemandu teksi tidak sepatutnya membuat kesimpulan sendiri bahawa kerajaan telah meluluskan perkhidmatan Uber dan GrabCar seterusnya melakukan mogok berhubung perkara itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berhubung perkhidmatan Uber dan GrabCar.

“Pemandu teksi tidak wajar membuat mogok di tempat umum kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan dan sudah pasti kita (kerajaan) akan berbincang dengan persatuan teksi sebelum membuat keputusan.

Pemandu teksi tidak tahu apa kaedah yang dibuat kerajaan, jadi mereka tidak boleh membuat konklusi,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemandu teksi yang melakukan mogok berhampiran Pavilion, Bukit Bintang, di sini hari ini kerana membantah Uber dan GrabCar yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Abdul Aziz berkata beliau telah berjumpa dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan meminta suruhanjaya itu menjelaskan kepada semua pemilik teksi mengenai transformasi teksi yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.

Kementerian Pengangkutan akan memastikan perkhidmatan teksi alternatif seperti Uber dan Grabcar didaftarkan di bawah SPAD secepat mungkin.

Sementara itu Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata SPAD telah diminta untuk mempercepatkan proses pendaftaran pemandu yang terlibat dengan perkhidmatan itu bagi mengelak berlaku syak wasangka dalam kalangan pemandu teksi.

“SPAD dan kementerian memang bersetuju kita perlu daftarkan pemandu Uber dan Grabcar serta lesenkan mereka untuk pastikan pemandu teksi tak rasa diabaikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Teguh Bersama MCA di Wisma MCA  hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan lebih 300 pemandu teksi awam yang membuat protes membantah perkhidmatan Uber dan Grabcar di Bukit Bintang, pagi tadi.

Liow berkata perkhidmatan Uber dan Grabcar perlu dilesenkan supaya ia mengikut peraturan di bawah undang-undang SPAD dengan mewajibkan mereka yang menawarkan perkhidmatan itu memiliki lesen kenderaan awam dan membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

TAGS