Pemandu TPM parah motosikal kemalangan

Pemandu TPM parah motosikal kemalangan

 

Pemandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abdullah Sani Said, 60, cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Segambut Dalam, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, motosikal yang ditunggang Abdullah Sani bertembung dengan motosikal lain selepas cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari persimpangan Persiaran Prima Pelangi.

“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 dari arah Mont Kiara bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang datang dari arah Segambut akibat mengelak kereta yang keluar dari persimpangan itu.

“Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam kepala dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, setakat ini, pemandu kereta dan penunggang motosikal Yamaha LC itu tidak dapat dikesan.

Orang ramai diminta membantu polis mengesan penunggang motosikal Yamaha LC dengan nombor pendaftaran WC5712F bagi membantu siasatan. – BERNAMA