Pemandu teksi lancar mogok protes SPAD

Pemandu teksi lancar mogok protes SPAD

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Laluan sekitar Jalan Bukit Bintang, khususnya di hadapan pusat beli-belah Pavillion hari ini terpaksa ditutup hampir dua jam oleh pihak polis ekoran tindakan sekumpulan pemandu teksi yang membuat protes membantah perkhidmatan teksi persendirian Uber dan Grabcar.

Kira-kira 300 pemandu teksi berkumpul di kawasan itu bermula 10 pagi dengan meletakkan teksi-teksi mereka di bahu-bahu jalan, sekali gus menghalang laluan utama dan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan terbabit.

Seorang pemandu teksi, Kamarudin Mohd Hussain berkata demonstrasi itu sebagai tanda protes terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang gagal mengekang aktiviti pemandu GrabCar dan Uber yang dilihat semakin berleluasa.

“Kami bukan nak demo saja-saja, kami buat ini sebab kami sudah terseksa sebab pemandu Uber dan GrabCar telah mengacau periuk nasi kami.

“Sedangkan mereka tidak ada lesen, tapi SPAD nampaknya macam tutup mata, kami nak makan apa?,” katanya dengan nada yang tegas kepada Bernama, di sini hari ini.

Kekecohan yang berlaku bukan sahaja menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Bukit Bintang tetapi turut menjejaskan kedai-kedai makan berhampiran yang kelihatan lengang ekoran pelanggan tidak berani berada di sekitar kawasan terbabit.

Mogok dilakukan menyebabka lalulintas terhalang lebih empat jam di kawasan Bukit Bintang.Sekitar 11 pagi, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji memberi amaran kepada semua pemandu teksi agar beredar dalam tempoh 15 minit, namun kebanyakannya masih tidak berganjak, menyebabkan polis mengarah anggotanya untuk menahan pemandu yang ingkar.

Susulan tindakan itu, lima pemandu ingkar ditahan dan akan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Kira-kira 12 tengah hari, keadaan lalu lintas di kawasan itu kembali lancar seperti biasa.

TAGS