Pemangkin kemakmuran bersama petani, penternak dan nelayan

Pemangkin kemakmuran bersama petani, penternak dan nelayan

Dalam Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan pada hari ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menerima peruntukan sebanyak RM4.9 bilion.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, peningkatan peruntukan kementeriannya untuk tahun 2020 membuktikan sektor agro makanan negara mendapat perhatian kerajaan.

“Sektor agro makanan ini akan terus dibangunkan dengan mampan untuk memastikan bekalan makanan adalah selamat dan mencukupi.

“Ini selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, belanjawan 2020 untuk MOA semestinya akan membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

“Ia juga berfungsi sebagai pemangkin kepada Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Agromakanan Negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah peruntukan tersebut, perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM3.5 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM1.4 billion.

Peruntukan bagi MOA telah naik sebanyak 10.9% bagi tahun 2020 berbanding dengan peruntukan belanjawan 2019 yang diberi sebanyak RM4.4 bilion.

Antara penumpuan yang diambil untuk sektor pertanian bagi tahun 2020 termasuklah pemberian elaun dan skim bagi para petani dan nelayan yang masih diteruskan serta langkah pemodenan bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Di antara penumpuan bagi sektor pertanian pada tahun 2020 adalah:

– RM855 juta untuk sektor padi. Ini termasuk RM796 juta bagi Skim Baja Padi
“Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Subsidi Padi Bukit/Huma juga akan diteruskan.

-RM152 juta untuk nelayan. Ini termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang telah dinaikkan dari RM200 kepada RM250 sebulan.

-RM150 juta juga diperuntukkan sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa dan tembikai dan buluh

-RM43 juta untuk Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi

-RM30 juta untuk penghasilan beras padi pulut di Langkawi