Pemangku Raja Pahang dicalon rebut jawatan presiden MHC

Pemangku Raja Pahang dicalon rebut jawatan presiden MHC

Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) bercadang untuk mencalonkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah untuk jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-66, 16 Nov ini.

Cadangan nama Tengku Hassanal itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru merebut jawatan presiden antara penyandang Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd., Datuk Kamarudin Meranun.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pencalonan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah didokumentasikan secara rasmi dan dihantar ke pejabat Pemangku Raja di Pekan, Pahang serta ke Istana Negara.

Beliau berkata cadangan itu setelah merasakan baginda adalah calon terbaik dan sesuai untuk mengambil alih tampuk kepimpinan MHC.

“Apabila kita mencalonkan Pemangku Raja Pahang, saya berpendapat dan pihak KLHM bersetuju yang baginda perlu berada di atas dan tidak manis untuk baginda berada di bawah seperti lantikan timbalan presiden,” katanya pada sidang media khas di Stadium Hoki Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mendapat pencalonan sebagai timbalan presiden MHC daripada beberapa persatuan negeri termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Difahamkan, untuk membenarkan baginda bertanding merebut jawatan presiden memerlukan sekurang-kurangnya tiga pencalonan dibuat.

Sementara itu, Megat Shahriman mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden badan induk itu.– BERNAMA