Malaysia Dateline

Pemansuhan Akta Hasutan: Kerajaan PH perlu berhati-hati, kata Zuraida

Pemansuhan Akta Hasutan harus dilaksanakan dengan berhati-hati dan mengambil masa yang agak lama.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika bercakap kepada media di Bagan Ajam, Butterworth semalam.

Jelas beliau lagi, akta tersebut tidak boleh diproses dalam masa yang begitu cepat kerana ia perlu dikaji terlebih dahulu.

“Sebagai contoh dalam kes melibatkan 1MDB pun, untuk menukar Peguam Negara juga mengambil masa yang agak lama.

“Manakala bagi kertas pendakwaan pun mengambil tempoh yang agak lama sehingga mencecah enam bulan.

“Oleh kerana itu kerajaan perlu berhati-hati dan teliti sebelum pindaan maupun pemansuhan dilaksanakan, ” ujarnya.

Menurut Zuraida lagi, kementerian juga sedang mengkaji semula akta-akta yang berkaitan dengan akta hasutan kerana ia juga terdapat dalam beberapa akta yang lain.

Malah tegasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati kerana berhadapan dengan pembangkang yang mahir dan tahu selok-belok mengenai pindaan dan pemansuhan akta tersebut, sedangkan kerajaan PH baru setahun mentadbir negara,

Sehubungan itu katanya, usaha bagi meminda maupun memansuhkan akta tersebut tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang rapi.

“Kita berharapan dengan pembangkang yang telah lama menjadi kerajaan.

“Justeru itu sebarang tindakan yang diambil haruslah tepat dan tidak tersilap langkah.

“Walau bagaimanapun apa yang terbaik untuk rakyat tetap akan menjadi keutamaan bagi kerajaan, ” tambah beliau lagi.