Pemansuhan hukuman mati belum dibincang Kabinet

Pemansuhan hukuman mati belum dibincang Kabinet

Langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kerajaan masih menunggu maklum balas dan penelitian menyeluruh daripada Jabatan Peguam Negara sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk tindakan lanjut.

“Pada ketika ini prosesnya masih di Jabatan Peguam Negara (AGC). Masih belum di peringkat Kabinet lagi. Tentang berapa lama proses ini akan ambil masa…saya harap ia selesai menjelang bulan depan, diharapkan selepas pembentangan belanjawan (Belanjawan 2019),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Liew berkata beliau telah diarahkan untuk mengeluarkan moratarium kepada pihak Lembaga Pengampunan supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman mati kepada semua pesalah yang menunggu hukuman gantung.

Terdahulu, ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, Liew berkata kerajaan tidak tergesa-gesa untuk memansuhkan hukuman mati.

Beliau berkata kerajaan akan meneliti semua pandangan dan membuat kajian menyeluruh bagi cadangan pemansuhan hukuman mati yang melibatkan 32 kesalahan di dalam lapan akta berkenaan.

Liew berkata kerajaan telah menjalankan satu kajian berhubung pemansuhan hukuman berkenaan yang dilaksanakan I-CeLLS, organisasi di bawah naungan Jabatan Peguam Negara, yang turut melibatkan pakar terulung dunia dari University of Oxford, Profesor Roger Hood sebagai perunding kajian berkenaan.

“Kerajaan terdahulu telah jalankan kajian, kalau saya tidak silap pada 2013, tapi pada masa itu kerajaan mungkin kurang iltizam politik untuk mansuhkan hukuman mati sama sekali,” katanya.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menasihatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa dalam memansuhkan hukuman berkenaan.-Bernama.

COMMENTS

Wordpress (0)