Malaysia Dateline

Pemansuhan siling harga minyak: Ada isyarat tersembunyi

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang secara senyap-senyap memansuhkan harga siling minyak tanpa membuat pengumuman jelas kepada rakyat dianggap sebenarnya mempunyai isyarat tersembunyi tentang keadaan kewangan negara.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Ekonomi Pemuda AMANAH, Abu Arslan berkata, keputusan PN memansuhkan harga siling juga bermakna tiada lagi subsidi minyak kepada rakyat sekiranya harga minyak meningkat.

“Walaupun harga minyak dunia pada ketika ini berada di paras yang rendah, namun sekiranya minyak Brent meningkat lebih daripada USD60 setong, rakyat akan terbeban dengan kenaikan harga minyak kerana tiada lagi pemberian subsidi daripada kerjaan.

“Malah, harga barangan dan keperluan lain juga turut meningkat, sekaligus membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) terbaru tidak lagi menyebut tentang harga siling atau harga runcit maksimum untuk petrol dan diesel.

Sebaliknya, warta bertarikh 3 Jun itu, sekadar memaklumkan bahawa pembatalan harga siling itu adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 4, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], Pengawal, dengan kelulusan menteri.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng pada 27 Febuari 2019, menetapkan RON95 pada harga siling RM2.08.

Penetapan harga itu bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguh pun harga minyak dunia naik lebih daripada itu. Tindakan ini juga menyebabkan kadar inflasi yang rendah pada tahun 2019.

Dalam pada itu, Arslan menegaskan bahawa kerajaan seharusnya berterus terang tentang keadaan yang menyebabkan mereka bertindak menarik subsidi minyak tersebut.

“Adakah ianya disebabkan hasil cukai yang bakal menurun, atau menampung kos operasi kerajaan yang terlampau tinggi kerana melantik seramai mungkin Menteri dan Timbalan Menteri?,” soalnya.