Malaysia Dateline

Pemansuhan tol motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang beri manfaat 50,000 penduduk

Pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dekat Gelang Patah, di sini, mulai tengah malam ini, memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan tersebut secara harian.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata pemansuhan itu sememangnya menjadi berita gembira khususnya buat mereka yang berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura sekali gus menjadi hadiah ‘tahun baru’ yang cukup bermakna dalam mengurangkan kos sara hidup.

“Dengan ketiadaan kutipan tol bagi motosikal mulai 1 Jan, kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan plaza tol ini secara harian akan mendapat manfaat jangka panjang.

“Mereka juga akan mendapat penjimatan kos di antara RM24.20 sehingga RM66 sebulan berdasarkan kiraan hari bekerja purata 22 hari atau 30 hari sebulan,” katanya berucap pada majlis pemansuhan kutipan tol tersebut, di Plaza Tol Tanjung Kupang, Linkedua, di Gelang Patah, di sini malam ini.

Mohd Anuar berkata pemansuhan tol bagi motosikal berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, 2 November lepas selaras komitmen kerajaan mengurangkan kos sara diri rakyat.

Menurut beliau, dengan pemansuhan itu, pengguna motosikal akan menikmati laluan tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Beliau berkata Linkedua dibuka kepada pengguna sejak 1998 dan secara tidak langsung telah menyumbang jasa kepada orang ramai khususnya yang bermotosikal secara harian berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura.

Sebelum ini, penunggang motosikal perlu membayar tol RM1.10 di Plaza Tol Tanjung Kupang berkenaan.

Sementara itu di BUTTERWORTH, tol bagi laluan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dimansuhkan berkuatkuasa tengah malam ini.

Pemansuhan tol tersebut adalah sebagaimana pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat pada 2 Nov lepas.

Tinjauan Bernama di Jambatan Pulau Pinang mendapati rata-rata penunggang motosikal yang menggunakan jambatan itu berasa lega dengan pemansuhan tol berkenaan.

Seorang kakitangan swasta Mohd Yazid Yusof, 28, berkata pemansuhan tol di kedua-dua jambatan itu akan meringankan beban penunggang motosikal yang sering berulang alik dari Seberang Perai ke bahagian pulau.

“Saya tinggal di Sungai Dua (George Town) tetapi bekerja di Perai. Jadi, saya dah ulang alik dari Perai ke pulau selama empat tahun. Sudah tentu ia (pemansuhan tol) satu perkhabaran yang baik buat rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di laluan tol Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal Makhtar Dahlan, 52, menyifatkan pemansuhan tol tersebut sebagai hadiah tahun baharu.

“Sememangnya ini merupakan hadiah tahun baharu kepada rakyat Pulau Pinang dan pengguna motosikal yang sering menggunakan kedua-dua jambatan khususnya Jambatan Pulau Pinang sama ada untuk ulang alik ke tempat kerja atau lain-lain urusan,” katanya yang bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) George Town.

Terdahulu, acara pelepasan pemansuhan tol motosikal 1 JanuariĀ  2019 telah disempurnakan Pengarah Pengawasan Tol Lembaga Lebuhraya Malaysia, Idrus Mat Tais.

Pemansuhan bayaran tol bagi motosikal itu sekaligus memberi manfaat kepada hampir 20,000 pengguna lebuh raya yang menggunakan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan 2,000 pengguna di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang menggunakan laluan tol berkenaan setiap hari.- BERNAMA