Malaysia Dateline

Pembaca berita Astro Awani disiasat polis

Pembaca Berita Astro Awani kini disiasat oleh polis atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan menimbulkan kebencian terhadap pasukan polis, lapor Berita Harian semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah, kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Kes ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Acryl Sani yang diumumkan bakal Ketua Polis Negara mulai 4 Mei ini berkata tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa, terutama pasukan PDRM.

Penyampai berita Astro Awani, dalam siaran berita Astro Awani 7.45 lima hari lalu menggunakan istilah “Ketika otak yang letaknya di atas, tapi ada yang bertindak seolah-olah otak di lutut” terhadap penguatkuasa yang mengenakan kompaun sehingga RM50,000 ketika rakyat susah.

Seorang pembaca berita wanita kemudiannya menyambung dengan membandingkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap selebriti jutawan, Neelofa dan ahli keluarganya.

“Tidak seperti selebriti Neelofa, jumlah kompaun RM60,000 mungkin bukan jumlah yang besar baginya. Polis bagaimanapun tampil memberi jaminan semua peniaga kecil itu boleh mengemukakan rayuan,” katanya.

Video rakaman berita itu kini tular di kalangan pengguna media sosial.