Pembahagian kerusi: Bersatu akan teruskan rundingan dengan PAS


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telahpun mengenalpasti kerusi yang akan ditandingi parti itu dan  akan diselesaikan dalam rundingan dengan Pakatan Harapan dan Pas dalam masa terdekat ini.

Pembahagian kerusi: Bersatu akan  teruskan rundingan dengan PAS

Tan Sri Muhyiddin YassinParti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telahpun mengenalpasti kerusi yang akan ditandingi parti itu dan  akan diselesaikan dalam rundingan dengan Pakatan Harapan dan Pas dalam masa terdekat ini.

 Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah parti baharu,sokongan menyeluruh diharapkan dalam Pakatan Harapan dan Pas.

“Sebagai parti baharu kami  gerakkan usaha untuk menawan kerusi yang dimenangi Umno termasuk kawasan Felda dan luar bandar yang kami yakin kami ada sokongan agak baik.

“Jika Pakatan Harapan  dan Pas memberi peluang kita boleh bantu parti pembangkang dalam PRU akan datang,” ujarnya dalam sidang media selepas sesi mesyuarat majlis presiden diadakan diibu pejabat parti itu di Petaling Jaya petang ini.

Muhyiddin memberitahu, Bersatu akan membincangkan soal pembahagian kerusi dengan PKR, DAP dan Amanah dalam waktu terdekat ini,  tanpa mahu menyatakan tarikhnya.

Parti dalam Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah baru-baru ini mengadakan mesyuarat pusingan pertama pembahagian kerusi tanpa kehadiran wakil Bersatu walaupun pada awalnya dijemput untuk duduk berbincang bersama.

Muhyiddin juga berkata, hubungan kerjasama  parti itu dengan PAS dalam soal pembahagian kerusi masih lagi berlansung dengan baik walaupun rumit.

“Rundingan dengan PAS masih diadakan walaupun sulit (rumit) masih berterusan.Kita (Bersatu) telah ikuti perkembangan dan kenyataan dibuat oleh pimpinan Pas sebelum ini.

“Pernah pertemuan diadakan antara Mukhriz dan Tuan Ibrahim di mana kita dapat isyarat baharu, PAS sedia bincang pembahagian kerusi,” ujarnya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, partinya akan mengadakan perbincangan dengan Pas dalam tempoh terdekat.

“Kita akan mulakan (perbincangan) dalam tempoh tidak lama lagi. Walaupin begitu kita masih berpendapat satu kerangka kerjasama dengan PAS mesti jelas dan mengambil kira hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Dalam pemerhatian kami dalam PRU nanti semua pihak (Pakatan Harapan dan Pas) boleh bersetuju untuk  pertandingan satu lawan satu,” ujarnya.

Pada Februari lalu satu mesyuarat Jawatakuasa Induk Bersama antara Pas dan Bersatu telah diadakan yang diketuai Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat itu memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-Bersatu dalam menghadapi PRU 14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti.

Dalam pada masa sama PAS turut menolak kerjasama dengan DAP dan Amanah sekiranya Bersatu mahu menjalin kerjasama dengan PAS.

Ketika ditanya media akan hal ini, Muhyiddin berkata,”Kita tidak tentukan tempoh masa setiap tahap perbincangan amat bermakna dan  ada kemajuan hingga sampai ke tahap ini.Selagi itu tidak berlaku, kami akan teruskan berbincang dengan PAS.

“Hal ini kita ambil perhatian, jika PAS dan PPBM boleh bersepakat pasti ada jalan tengah sebagai penyelesaiannya, maka kita akan usahakan. Jika ada ada beberapa pendekatan yang sesuai kita akan bincangkan bersama,” terangnya.