Pembahagian kerusi Pakatan Harapan-Pas tidak berbangkit

Pembahagian kerusi Pakatan Harapan-Pas tidak berbangkit

Isu pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan dan Pas tidak berbangkit menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah dipetik berkata apa yang penting ketika ini parti pembangkang memberi tumpuan pada siri jelajah untuk mendekatkan diri kepada masyarakat.

“Saya fikir isu (pembahagian kerusi) itu tidak berbangkit (antara Pakatan Harapan dan Pas).

“Sekarang tumpuan kami seperti saya sebutkan ialah Jelajah Siap Siaga dan rundingan terbaik sentiasa dibuat secara tertutup,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program Jelajah Siap Siaga bagi menghadapi PRU 14 di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media sama ada rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan HArapan dan Pas masih berjalan atau telah selesai.

Sementara itu, Nurul yang juga PengarahPilihan Raya PKR memberitahu tujuan siri Jelajah Siap Siaga diadakan bagi mendekatkan diri dengan masyarakat.

Siri jelajah tersebut akan meliputi seluruh negara dan memberi peluang kepada rakyat mendengar sendiri penjelasan yang dibawa oleh pemimpin Pakatan Harapan.

“Ia akan beri momentum kepada rakyat yang berpeluang mendengar sendiri daripada kita.

“Ia merupakan medium interaksi dan penyaluran komunikasi agenda institusi dan dasar sosio ekonomi bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Jelajah Siap Siaga 2017 juga akan menyelia kerja-kerja pilihan raya antaranya menerusi program dan aktiviti kesukarelawan MyChangemakers yang telah bermula sejak pilihan raya negeri Sarawak.

COMMENTS

Wordpress (0)