Malaysia Dateline

Pembalakan di Ulu Muda menjejaskan bekalan air di 3 buah negeri

Kerajaan Pusat, Kerajaan negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan badan bukan kerajaan serta 4.2 juta orang rakyat di tiga buah negeri tersebut mesti mengatakan ‘TIDAK’ kepada sebarang usaha bagi pembukaan semula konsesi pembalakan di Kedah.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Sdn Bhd dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Datuk Ir Jaseni Maidinsa

Jelasnya, pembukaan semula konsesi pembalakan di Kedah mungkin akan menyebabkan lebih banyak aktiviti pembasmian hutan di Ulu Muda, kawasan tadahan air terpenting di wilayah utara pada masa akan datang.

“Laporan yang menyatakan bahawa kerajaan negeri Kedah bercadang untuk mempertimbangkan pembukaan semula konsesi pembalakan atau mengizinkan syarikat pembalakan menuai hasil hutan bagi mengelak pembayaran pampasan merupakan cadangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berpandangan jauh kerana ia berkemungkinan akan membawa kepada pembalakan di Ulu Muda, kawasan tadahan air terpenting bagi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Malah ketiga-tiga buah negeri tersebut amat bergantung pada air hujan yang ditadah di kawasan 160,000 hektar hutan hujan Ulu Muda dan kira-kira 70 peratus air mentah Perlis serta 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda.

“Sementara itu di Pulau Pinang, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengabstrak lebih 80 peratus air mentah yang diperlukan Pulau Pinang setiap hari dari Sungai Muda dan kawasan tadahan air untuk Sungai Muda adalah Ulu Muda,” tegasnya.

Menurut Jaseni lagi, akibat yang tidak dapat dielakkan daripada ‘penuaian’ Ulu Muda tersebut ialah krisis air di Perlis, Kedah dan juga Pulau Pinang.

Ujarnya, tanpa air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda, perniagaan di ketiga-tiga buah negeri harus ditutup dan pesawah tidak akan dapat menanam di kawasan terkenal ‘Jelapang Padi Malaysia’.

Beliau juga berkata, dengan kekurangan hujan dan ketidaktentuan berikutan perubahan iklim, adalah tidak logik bagi kerajaan negeri Kedah untuk menyetujui dan menyokong pembasmian hutan yang akan menjejaskan peranan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terpenting di utara negara ini.