Malaysia Dateline

Pembalakan rakus di hulu Kelantan dedah risiko bencana alam

Aktivis alam sekitar mendedahkan kegiatan pembalakan berskala mega di sekitar Tanah Tinggi Lojing, Kelantan melanggar pelbagai peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) Perak, Hafizudin Nasarudin berkata, wujud penebangan hutan secara berleluasa untuk pembukaan ladang sawit, getah dan kebun sayur-sayuran di kawasan terbabit.

“Kebanyakan projek ini telah diberi lesen, namun masih lagi bercanggah dengan peraturan pembangunan negara.

“Antaranya, penebangan dilakukan di kawasan tidak sesuai termasuk melampaui rizab sungai yang bertentangan dengan garis panduan perancangan fizikal,” ujarnya.

Hasil rakaman video dron dilakukan pihaknya baru-baru ini juga mendapati berlaku pelanggaran peraturan daripada segi penebangan hutan secara tebang habis di kawasan berketinggian melebihi 600 hingga 1,000 meter dari aras laut.

Hafizudin berkata kawasan hutan yang ditarah menjadi pemandangan lazim di sepanjang jalan raya Lojing-Gua Musang di hulu Kelantan itu.

Hafizudin mempersoal pembalakan rakus di Lojing, Kelantan.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan pembalakan ‘cuci mangkuk’ di kawasan terbabit turut tidak mematuhi Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dan 2 serta bertindih dengan kawasan Central Forest Spine (CFS).

CFS merujuk usaha pelbagai agensi kerajaan untuk menangani isu pemecahan hutan yang menjadi ancaman kepada pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti dengan mewujudkan kesinambungan habitat biodiversiti negara termasuk hidupan liar.

Sehubungan itu, Hafizudin bimbang rakyat berterusan menghadapi impak bencana alam akibat kepincangan pemimpin dalam mengurus hutan secara lestari.

“Saban hari kita menanggung bala yang besar akibat kejahilan pemimpin yang gagal memakmurkan bumi dan mematuhi sendiri peraturan yang mereka cipta.

“Yang penting wang dan ekonomi adalah nombor satu bagi mereka walaupun akhirnya rakyat biasa terpaksa makan tanah lumpur dan terdedah kepada risiko bencana alam,” ujarnya lagi.