Pembangkang keluar dewan protes lantikan Speaker tidak ikuti ‘Point of Order’

Pembangkang keluar dewan protes lantikan Speaker tidak ikuti  ‘Point of Order’

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (kanan) dan Datuk Rosmee Hamzah (kiri).- Foto Wan Zahari Wan Salleh.

Ahli Parlimen BN dan Pas keluar Dewan Rakyat sebagai memprotes pelantikan Speaker Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohd Ariff Md Yusof.

Protes ini tercetus kerana pelantikan bekas hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-9 pada hari ini menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu tidak mengikuti syarat pelantikan seorang Speaker.

Ketegangan bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat,Datuk Roosme Hamzah bangun mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, tiba-tiba ahli Parlimen BN dan Pas memintas menyatakan lantikan itu tidak sah.

Roosme memaklumkan hanya satu nama yang diterima untuk pelantikan jawatan tersebut.

Ketegangan bermula apabila Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) bangun untuk menyatakan protes terhadap prosedur pencalonan dengan merujuk kepada ‘Point of Order’ namun proses pelantikan diteruskan.

Tindakan itu mengundang kritikan daripada Ahli Pembangkang yang lain dari Pas dan BN.

Mereka kemudian bertindak untuk keluar Dewan.

Dalam sidang media diadakan di luar dewan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan Pas bukan menentang Speaker Mohamad Ariff.

“Kita (pembangkang) menentang cara penamaan calon Speaker dan prosedur yang dilakukan untuk melantik Speaker. Sebab itu kami ambil keputusan untuk keluar meninggalkan dewan kerana dewan tidak hormat dengan prosedur yang sepatutnya dilakukan,”ujarnya.

Menurut Takiyuddin tidak mungkin notis menamakan calon Speaker yang dibuat oleh pihak kerajaan sebelum 2 Julai 2018.

Katanya kegagalan mematuhi peruntukan di bawah ‘Point of Order” mengakibatkan pemilihan speaker tidak sah.

Beliau mengesa Parlimen di tangguhkan sekurang-kurangnya 14 hari bagi membolehkaan notis tersebut efektif.

Jika diteruskan katanya, dikhuatiri pemilihan Speaker mengikut prosedur tidak sah boleh dicabar di mahkamah. Ini akan memalukan negara di mata dunia apatah lagi calon ini seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Profesor Undang-undang tersohor.

Pencalonan Mohamad Ariff dicadangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Pakatan Harapan- Langkawi) dan disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pakatan Harapan- Pandan).

Ketika kekecohan berlaku, Dr Mahathir tidak menghiraukan bantahan itu dan beliau terus membaca usul pelantikan Mohamad Ariff sebagai calon Speaker.

Mohamad Ariff, 69, dari Sungai Petani, Kedah, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London (London School of Economics), dan memulakan karier pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang sebelum diiktiraf sebagai profesor madya di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.

Dari 1993 hingga 1995, Mohamad Ariff bercuti daripada pengamalan undang-undang untuk menyertai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang baru ditubuhkan ketika itu, sebagai Pengarah pertama Jabatan Penyeliaan Pasaran.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote