Malaysia Dateline

Pembangkang akan bawa usul di Parlimen, perjuang hak mengundi umur 18 tahun

Ahli Parlimen Pembangkang akan membawa satu usul di Parlimen untuk meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan, bagi membolehkan warganegara Malaysia yang cukup umur 18 tahun, secara automatik berdaftar sebagai pemilih.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata pindaan itu dirancang selaras dengan hasrat pihaknya mengiktiraf sumbangan dan hak golongan muda dalam negara ini.

“Hak mengundi adalah hak semua rakyat. Kita memberi peluang kepada masyarakat untuk mengundi dan dengan pendaftaran secara automatik itu, ia membolehkan rakyat menggunakan hak mereka.

“Bila dibangkitkan perkara ini (terpilih secara automatik) dalam sesi taklimat, kerajaan masih lagi tidak bersetuju mengenainya.

“Tentang bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nak mendaftarkan, itu terpulang kepada pihak pentadbiran,” katanya dalam sidang media, di Parlimen, hari ini.

Selaras dengan itu juga, Ahli Parlimen Bera itu berkata, pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya juga turut diturunkan kepada 18 tahun.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata isu yang berbangkit kini adalah, kira-kira 4 juta pengundi tidak berdaftar dan kerajaan perlu menyelesaikan perkara tersebut.

“Caranya adalah melaksanakan pendaftaran secara automatik. Jika tidak dilaksanakan pendaftaran kepada yang sudah cukup umur 18 tahun, ia secara langsung akan menambahkan jumlah pengundi tidak berdaftar,” katanya.