Pembangkang boleh menang jika tak ‘berlawan sesama sendiri’ – Muhyiddin

Pembangkang boleh menang jika tak ‘berlawan sesama sendiri’ – Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin gabungan pembangkang dapat mengalahkan Barisan Nasional (BN) jika tidak 'berlawan sesama sendiri'.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin gabungan pembangkang dapat mengalahkan Barisan Nasional (BN) jika tidak ‘berlawan sesama sendiri’.

Sambil mengakui sukar untuk Bersatu menewaskan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) jika bersendirian, beliau berkata gabungan pembangkang mesti menggunakan formula satu lawan satu.

“Ada orang bertanya saya sebagai presiden PPBM (Bersatu), mereka berkata adakah kita boleh menang dalam PRU14. Saya kata kalau PPBM sahaja mungkin sukar. Biarlah kita bercakap terus terang.

“Sama juga macam dalam BN. Kalau Umno satu parti sahaja tak tentu dia boleh dapat membentuk kerajaan. Sebab itu kita nak gabungan parti-parti pembangkang.

“Ada orang tanya boleh menang ke kalau parti pembangkang bersatu. Kalau dia bersatu menanglah. Jangan lawan sesama sendiri. Janganlah Amanah lawan PPBM ataupun lain-lain. Formulanya senang sahaja, satu lawan satu,” katanya dalam ceramah Bersatu di Padang Rengas malam tadi.

Turut bersama dalam jalajah ‘Bersatu tawan Perak’ itu ialah Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Datuk Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mencadangkan gabungan dalam Pakatan Harapan – DAP, PKR, Amanah dan Bersatu dinamakan Barisan Rakyat bagi menentang BN.

“Mungkin kita boleh minta namakan Barisan Rakyat, Barisan Rakyat menentang Barisan Nasional,” katanya sambil berkata ia bergantung kepada persetujuan keempat-empat parti.

Sementara itu, Muhyiddin secara peribadi berhasrat menjadikan gabungan itu berteraskan Melayu dan Bersatu menjadi antara parti utama mendukung perjuangan itu.

“Sebab itu kita nak berpakat atau berbincang dengan pimpinan dalam Pakatan Harapan dan kita nak minta supaya untuk menentukan kedudukan kita dihormati iaitu gabungan parti baharu ini diterima rakyat secara total, tentunya antara lain yang penting untuk melihat gabungan parti baharu ini adalah yang berteraskan Melayu dan PPBM antara parti utama yang mendukung perjuangan,” katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh.

“Ia perlu menjadi kerajaan yang dipimpin Melayu. Saya sedang menyebut ini di sini bukan kerana saya mahu memihak kepada sesiapa tetapi kerana saya tahu majoriti rakyat Melayu,” katanya lagi sambil menjelaskan ia hanyalah pandangan peribadi beliau.

Beliau bagaimanapun berkata, orang bukan Melayu tidak perlu bimbang kerana hak-hak mereka akan terus dibela di bawah gabungan itu kerana di dalamnya terdapat DAP dan PKR yang mewakili orang bukan Melayu dan bukan Islam.

TAGS