Malaysia Dateline

Pembangkang boleh mula runding agihan kerusi hadapi PRU15

Pemuda AMANAH Nasional menyarankan agar pembangkang mula berunding berhubung formula agihan kerusi sebagai persediaan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, perbincangan tidak harus bersifat ‘rigid’ dan tertutup, namun kesediaan semua parti di blok pembangkang untuk berunding dan bertolak-ansur, akan menjadi permulaan yang baik dalam membentuk gabungan besar yang lebih kukuh

“Suara 108 ahli Parlimen yang dipunyai pembangkang hari ini walaupun masih gagal menolak Belanjawan 2021, tetap merupakan suara terkuat pembangkang dalam sejarah demokrasi negara.

“Kekuatan ini tidak harus dipersiakan, bahkan perlu diurus dengan baik melalui meja rundingan dalam menuju PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shazni, pembangkang hari ini perlu sedar bahawa mereka akan kekal kuat dan berpotensi memenangi semula hati rakyat apabila terus bersatu-padu dan bekerjasama.

Katanya juga, dengan kecelaruan dasar kerajaan Perikatan Nasional yang hanya fokus memberikan laba politik dalam mengekalkan sokongan yang tipis, maka pembangkang perlu lebih kukuh menyemak dan imbang seluruh perjalanan kerajaan.