Malaysia Dateline

Pembangkang dan kerajaan perlu capai konsensus bantah PRU15

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mencadangkan agar kesemua parti politik negara mencapai satu konsensus nasional agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak akan diadakan ekoran gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, semua parti politik perlu menjadikan agenda menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat sebagai keutamaan mereka supaya Malaysia mampu untuk bangkit dengan pemulihan yang pantas dan menyeluruh.

Bahkan katanya, jika tidak disebabkan ketamakan kerajaan Perikatan Nasional yang mahu merampas kuasa di Sabah, Malaysia pasti akan mempunyai rekod lebih baik dalam mengendalikan wabak berkenaan.

“Adakah ahli politik mahu mengulangi kesilapan yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan mengadakan pula PRU-15?

“Kerana inilah saya telah cadangkan supaya Persidangan Khas Parlimen diadakan dalam masa lebih kurang seminggu daripada sekarang memandangkan kita tidak mampu untuk menunggu sehingga Parlimen bersidang semula pada 8 Mac, kerana peningkatan kes semasa.

“Rakyat Malaysia berhak untuk bertanya kepada parti-parti politik; adakah mereka mampu mencapai konsensus nasional bahawa PRU15 tidak boleh diadakan ketika ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, blok pembangkang telah sepakat menolak cadangan Umno yang mendesak supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Dalam satu kenyataan bersama oleh 14 orang pemimpin pembangkang pada Selasa, mereka menyatakan rasa terkejut terhadap tindakan berterusan pemimpin Umno yang meminta PRU15 diadakan segera dengan mengambil kira situasi semasa yang dihadapi oleh rakyat ketika ini.

Mereka menolak susulan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan segera bagi membina sebuah kerajaan yang stabil.

Menurut Ahmad Zahid, PRU15 boleh dilaksanakan dengan cara memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.