Malaysia Dateline

Pembangkang desak segerakan vaksin untuk lebih 10,000 pengajar politeknik, kolej komuniti

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) bersama Ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak kerajaan memberi keutamaan kepada semua pensyarah serta kakitangan politeknik dan Kolej Komuniti untuk mendapat vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik bersama sembilan lagi ahlinya berkata, mereka menerima banyak rungutan dan aduan dari para pensyarah institusi pendidikan tinggi terbabit yang sering tersisih dari perhatian kerajaan.

Jelasnya, antara isu yang nyata terlihat mereka dianaktirikan ialah berkaitan kos kuarantin yang terpaksa ditanggung sendiri oleh kakitangan politeknik dan kolej komuniti dari Semenanjung yang kembali bertugas di Sarawak.

“Tatkala banyak suara meminta para guru di sekolah diberi keutamaan mendapatkan vaksin, para pengajar politeknik dan kolej komuniti pula dipinggirkan walaupun kebanyakan mereka terpaksa mengadakan kelas secara bersemuka untuk kursus-kursus praktikal di dalam bengkel, makmal dan kelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Maszlee dan Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Pejuang); Nik Nazmi Nik Ahmad dan Natrah Ismail (PKR) dan Datuk Dr Hasan Baharom mewakili AMANAH.

Turut serta, Teo Nie Ching dan Steven Sim Chee Keong dari DAP; Ahmad Hassan (WARISAN); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari MUDA.

Sementara itu, PH dan pembangkang dalam kenyataannya menegaskan, pensyarah politeknik dan kolej komuniti juga adalah pejuang barisan hadapan.

Katanya, mereka terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 kerana walaupun aspek teori dijalankan secara dalam talian, sesi amali masih dilakukan secara bersemuka bagi majoriti kursus yang ditawarkan.

Bahkan katanya, banyak politeknik dan kolej komuniti telah membantu menghasilkan pakaian perlindungan diri (PPE) seperti gaun, menghasilkan pelitup muka dan pelindung muka serta membantu mengedarkan bantuan makanan kepada masyarakat berdasarkan kemahiran teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang mereka ada.

“Menyedari tentang kepentingan peranan para pengajar ini, kami mendesak agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memberikan keutamaan dan menyegerakan vaksin untuk warga Politeknik dan kolej komuniti,” katanya lagi.

Sekumpulan pelajar Kolej Komuniti Bayan Baru dalam satu program April lalu.