Malaysia Dateline

Pembangkang jangan bermain spekulasi, cetus panik rakyat, kata PH Perak

Pemuda Harapan Perak mengingatkan pembangkang supaya tidak mencetuskan spekulasi yang akan memberi implikasi negatif hingga menimbulkan rasa panik dikalangan rakyat.

Ketua Pemudanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata tindakan pembangkang yang mencetuskan spekulasi kononnya akan berlakunya peralihan kuasa seperti yang terjadi pada 2009 menimbulkan rasa resah dikalangan rakyat.

“Kami menegaskan, Kerajaan Negeri Perak yang dibina atas kerestuan Paduka Seri Sultan Perak ini kukuh dan tidak berlaku sebarang permasalahan seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ketika ini.

“Wakil rakyat di pihak kerajaan sangat komited memberi sokongan penuh kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,” katanya.

Katanya, dua ahli Dewan Undangan  Negeri (Adun) yang dikaitkan dalam spekulasi ini iaitu Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi telah menafikannya dan kedua-duanya memberi komitmen yang tinggi kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak ketika ini.

Zainol yang juga Penasihat kepada Menteri Besar Perak itu juga telah menafikan dakwaan yang tular kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin bagi mendapat perkenan untuk menggantikan Ahmad Faizal.

“Kami menegaskan agar Pas tidak terlalu ‘berkhayal’ untuk memimpin negeri Perak hingga sanggup membuat spekulasi yang mampu memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negeri.

“Jangan sesekali cuba menggunakan kaedah yang tidak demokratik seperti yang dilakukan oleh pasangan yang baru dikahwini mereka iaitu Umno/BN pada tahun 2009 yang lalu hingga menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Pas sebagai menteri besar pada ketika itu,”katanya.

Tambah kenyataan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan khabar angin dan berharap semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang berita terutama isu-isu yang melibatkan sensitiviti rakyat dan ketenteraman negeri.

“Semua pihak sama ada pembangkang mahupun kerajaan bersama-sama fokus dan menumpukan tanggungjawab yang telah diberikan. Jangan sibuk bermain politik yang tidak memberi makna dan manfaat kepada rakyat,”katanya.