Pembangkang kena cermin diri, kata Rafizi

Pembangkang kena cermin diri, kata Rafizi

Pembangkang perlu imbas kembali dan menginsafi apa dilakukan sebelum ini sehingga menyebabkan pengundi mengekalkan Umno-BN kata, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Kita kena ‘cermin diri’ sendiri. Selagi kita tak buat begitu, maka kita akan ada masalah mendapat undi terutamanya dari orang Melayu,” katanya dalam sesi meja bulat Selamatkan Malaysia yang berlangsung di The Club di Bukit Utama Petaling Jaya hari ini.

Tambah Rafizi lagi pembangkang selama ini tersilap apabila menyangka orang Melayu khususnya di luar bandar tidak memahami isu dibawa pembangkang.

“Selama ini kempen dan cara kita menyampaikan maklumat seolah-olah pengundi Melayu di kampung tak boleh ‘mengira’. Tetapi Melayu sebenarnya faham isu nasional.

“Masalah kita bukannya Melayu tak faham dengan kerosakan dilakukan Najib, tapi sebab mereka tak yakin kita boleh tadbir dengan lebih baik dan memastikan kerosakan sama tidak berlaku. Melainkan kita menukar cara mendekati mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembangkang perlu memikirkan cara untuk dinilai sebagai satu gabungan politik yang jujur dan benar-benar mahu membantu rakyat.

“Kenapa ada masalah kredibiliti itu? Sebab rakyat merasakan sehingga sekarang kita masih belum dapat mengemukakan rangka penyelesaian yang bukan saja ‘incredible’ tapi jujur.

“Sebab itu kita kena cermin diri dan fikir bagaimana kita dapat dinilai sebagai satu gabungan politik yang jujur dan benar-benar mahu membantu dan bukan sekadar untuk menang ke Putrajaya,” katanya.

TAGS