Malaysia Dateline

Pembangkang sengaja mahu Mahathir, Anwar berbalah

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan sesetengah kumpulan yang menimbulkan soal isu peralihan kuasa Perdana Menteri sebagai tindakan ingin memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Mohd Sany Hamzan berkata, terdapat sentimen kuat yang menunjukkan pembangkang seolah-olah sengaja menimbulkan isu tersebut demi melihat kedua pemimpin itu berbalah.

Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh kerana ia telah diputuskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu.

“Sebenarnya pembangkang tak ada isu (untuk ditimbulkan), jadi mereka mainkan isu peralihan kuasa, isu kaum dan bangsa, agama, raja-raja dan sengaja melagakan bahawa perpaduan negara terancam.

“Memang tak ada isu pun sebenarnya. Saya rasa mereka sengaja memperbesarkan perkara ini untuk gugat kestabilan kerajaan.

“Apa-apa pun, sekarang ni yang memerintah adalah PH. Jadi sebenarnya terpulanglah pada PH nak menentukan pada waktu bila akan berlaku peralihan kuasa itu,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tambah Sany, Majlis Presiden Pakatan Harapan ketika itu sudah memutuskan bahawa Tun Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri dan peralihan kuasa tetap akan berlaku dalam tempoh lima tahun pemerintahan kerajaan PH.

Jelasnya, segala keputusan kelak perlu dibuat oleh Majlis Presiden itu sendiri.

Namun katanya, perkara tersebut perlu dibincangkan lebih lagi bersama kepimpinan empat parti dalam Pakatan Harapan itu sendiri.

“Tentunya masa diperlukan oleh Dr Mahathir untuk membaiki segala kerosakan yang telah ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini dibawah pimpinan Najib Razak.

“Pimpinan PH baik PM atau bukan PM, sedang bekerja ke arah untuk menyelamatkan ekonomi negara supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan aman, sentosa dan lebih baik dari pemerintahan dahulu.

“Jadi, kita kena duduk semula di meja rundingan untuk melihat keperluan peralihan kuasa ini,” katanya.

Dengan itu katanya, keputusan terletak pada PH untuk menentukan waktu yang sesuai untuk melaksanakan peralihan kuasa tersebut seperti yang dijanjikan PH dalam manifesto mereka.