Malaysia Dateline

Pembangkang sengaja timbulkan isu Melayu, Islam terancam

Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) antara parti politik yang tidak pernah sehaluan suatu ketika dahulu iaitu Pas dan Umno, hanya bermotifkan politik dan bukannya menjurus ke arah agama.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan menyifatkan, himpunan tersebut sebagai tidak relevan memandangkan rakyat di negara ini hidup dengan tenteram dan harmoni.

“Saya nampak himpunan yang diadakan itu lebih kepada politik. Tidak ada sebarang unsur perpaduan ummah pun.

“Lagi pun, rakyat Malaysia hidup bersatu dan isu tersebut (perkauman) sengaja ditimbulkan pembangkang, seolah-olah negara kita ini terancam dari segi bangsa Melayu dan agama Islam,” lapor akhbar Mingguan Amanah.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Selangor itu berpendapat Umno dan Pas sebenarnya sudah tiada isu rakyat mahu diperalat serta pada masa sama kedua-dua parti pembangkang itu dilanda masalah.

“Umno-BN dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu rasuah dan sebagainya. Pas ini pula tidak tahu hala tuju ke mana.

“Nak bersama Pakatan Harapan (PH), ada AMANAH dan DAP dalam PH. Kemudian, mereka (Pas) mencarilah satu gabungan parti politik dengan menggunakan isu agama, bangsa dan raja (3R) untuk meraih sokongan rakyat di negara ini,” katanya.

Sany turut menepis dakwaan kononnya isu agama dan kaum tidak dipelihara di bawah pentadbiran kerajaan PH pada ketika ini.

“Agama Islam akan terus kekal sebagai agama rasmi negara kita. Institusi raja pun kita terus mempertahankannya. Pada saya, hari ini tidak timbul pun isu kaum sebab rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Jadi, sudah tentulah himpunan tersebut tidak relevan. Rakyat harus melihat kepada PH yang parti komponennya adalah AMANAH. AMANAH memberikan ruang kepada mereka yang bukan sahaja Islam, malah bukan Islam turut bersama dengan kami,” tambahnya lagi.