Pembangkang sepakat di bawah ‘Khemah Besar’, bersedia bina kerajaan lebih beramanah

Oleh Oleh MOHD ALI HASHIM

Kesepakatan yang dicapai oleh AMANAH, DAP dan MUDA dalam pembahagian kerusi untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dianggap sebagai permulaan kepada jajaran politik yang membina kekuatan pembangkang di bawah konsep ‘Khemah Besar’.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, konsep ‘Khemah Besar’ yang ditampilkan dalam PRN Johor kali ini diyakini dapat menyatukan kesemua parti-parti pembangkang untuk menyelamatkan Malaysia dari pemerintah yang rasuah dan gagal.

“Pemimpin parti kerajaan terpalit dengan skandal rasuah dan mereka juga gagal menyelesaikan banyak isu rakyat termasuklah isu pekerjaan dan kenaikan harga barang.

“Maka khemah besar ini dilihat bersedia berpakat untuk membina sebuah kerajaan yang beramanah, bermaruah dan kompeten. Bagaimanapun, kesepakatan khemah besar ini perlu melibatkan lebih banyak parti lain yang berjuang atas agenda dan misi yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, faiz yang juga ADUN Permatang Pasir itu berkata, politik Malaysia telah merekodkan bahawa tiada satu pun parti solo yang mampu memenangi pilihan raya bagi membentuk kerajaan kecuali sekiranya berpakat dalam satu koalisi.

Bagaimanapun katanya, kesepakatan yang dibina tanpa agenda perjuangan yang sama dan strategi yang betul, pihak musuh yang zalim dan bathil pasti akan memenangi perlawanan.

“Sejajar dengan itu, kesepakatan ini merupakan satu strategi politik yang berkesan dan bijak. Sekuat mana sekalipun sesebuah parti politik ianya bukanlah tiket untuk menang pilihanraya kerana pola pengundian rakyat terbahagi kepada beberapa segmen dan faktor.

“Pertindihan kerusi hanya akan memenangkan Umno-BN. Biar menangis hari ini, tetapi kita dapat bersorak 12 Mac nanti.

“Justeru, semua ahli dan jentera AMANAH perlu bekerja keras memastikan kesemua kerusi yang ditandingi ini ditawan di bawah khemah besar ini,” ujarnya lagi.