Pembangkang terdesak dakwa Islam tergugat, kata Khalid Samad

Pembangkang terdesak dakwa Islam tergugat, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berpendapat pihak pembangkang dalam keadaan terdesak apabila mendakwa masyarakat dan institusi Islam tergugat di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pihak terbabit tiada fakta kukuh sebaliknya memainkan sentimen dengan tujuan untuk membina persepsi negatif terhadap PH.

“Banyak kenyataan yang berniat jahat seolah-olah Islam tercabar, orang Melayu akan teraniaya dan sebagainya. Mereka yang mendakwa Islam terancam sebenarnya tiada fakta.

“Orang yang mendakwa Islam tercabar ini apa hujah mereka? Malahan mereka ini bercakap dalam masjid, surau tanpa dihalang. Mereka bebas berceramah, memberi tazkirah tanpa mana-mana pihak menghalang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Abdul Samad (Siri 34) semalam di Jom Channel bertajuk, “Islam Terbela di Bawah PH” dengan perantara Ashraf Wahab.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tohmahan pembangkang hanya kempen untuk menimbulkan kemarahan, kebencian dan perbalahan.

“Pihak pembangkang semakin terdesak untuk mencari isu lalu sanggup jadi batu api dan adu domba,” tegasnya.

Khalid menjelaskan kerajaan PH banyak memberikan peruntukan kepada masyarakat dan institusi Islam.

Malahan, katanya, buat kali pertama dalam sejarah, kerajaan Persekutuan telah memberikan bayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dengan jumlah yang amat banyak.

“Kita (Kerajaan PH) beri royalti minyak kepada Kelantan yang mempunyai orang Melayu sebanyak 95 peratus.

“Ketika Umno-BN jadi kerajaan, dia tidak beri. Sekarang ini apabila PH ambil alih (kerajaan) atas keputusan Kabinet, Kementerian Kewangan pun terima keputusan Kabinet dan salurkan peruntukan,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, peruntukan lebih RM1 bilion kepada Terengganu contohnya boleh dimanfaatkan untuk kegunaan masyarakat Islam.
“Kalau di Terengganu, Islam tidak boleh dilaksanakan dan tidak dibantu, itu bukan salah kerajaan Persekutuan kerana peruntukan untuk royalti sudah kita beri.

“Ini menunjukkan tiada usaha untuk mengancam atau mencabar Islam dan sebagainya,” tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid turut menjelaskan kerajaan Umno-BN tidak menyalurkan bantuan kepada sekolah tahfiz, guru KAFA dan pendidikan Islam sebanyak kerajaan PH pada masa ini.

“Keputusan kerajaan memberikan bantuan dengan jutaan peruntukan yang dulu (kerajaan Umno-BN) tidak buat.

“Kami di Wilayah Persekutuan pun, Yayasan Wilayah kita telah memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada sekolah tahfiz yang berdaftar. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini,” tegasnya lagi.