Malaysia Dateline

Pembangkang tidak dapat ubah kerajaan Johor atau pusat jika memenangi PRK

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Barisan Nasional (BN) atau MCA tidak akan dapat berbuat apa-apa sekiranya memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Mereka (pembangkang) tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia tidak dapat mengubah kerajaan Johor mahu pun kerajaan pusat.

“Saya harap orang di sana (Tanjung Piai) sedar bahawa kemenangan PH membawa maksud janji dapat dipenuhi kerana kita adalah kerajaan di peringkat Johor dan persekutuan.

“Justeru itu, kami berharap pengundi akan mempertimbangkan dan memberi undi kepada parti PH,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah semua pucuk pimpinan parti komponen PH.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi optimis bahawa PH akan berpeluang memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Saya dan pimpinan PH yang lain perlu bekerja keras dan turun padang untuk berkempen,” jawabnya ringkas.

PRK Tanjung Piai akan menyaksikan pertembungan 6 penjuru membabitkan calon PH, Karmaine Sadini; Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa); S.Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghafar.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.