Malaysia Dateline

Pembangkang tidak sokong RUU Pindaan Akta 342

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan blok pembangkang tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang akan dibahas pada 16 Disember ini.

Ketua Pembangkang itu berkata, banyak pihak mempersoal jumlah denda dan kompaun keterlaluan yang dikenakan.

“Setelah memperinci keseluruhan RUU ini, mendengar pandangan Ahli-Ahli Parlimen dan respon rakyat yang sangat gusar dengan jumlah denda dan kompaun yang keterlaluan yang mungkin membuka ruang berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘Antara Dua Darjat’, saya dan saf Pembangkang tidak boleh menyokong RUU ini dalam bentuk yang telah dibentang.

“Saya telah menyatakan pendirian ini kepada YAB Perdana Menteri,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarikat dan agensi kerajaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, selepas pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Jelasnya, denda maksimum itu boleh dikenakan kepada syarikat besar yang melakukan kesalahan berulang hingga mencetuskan kluster Covid-19 beberapa kali, seperti yang berlaku pada masa ini.