BN Negeri Selangor berpandangan Bajet Negeri Selangor yang dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai keistimewaan dan lebih banyak mengulangi pencapaian lama dan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Gambar kiri) berkata, tiada insentif baru sebaliknya hanya menokok tambah apa yang telah dilaksana kerajaan negeri sebelum ini dan kerajaan pusat.
Mat Nadzari yang juga Adun Batang Kali berpandangan dari segi pembangunan ekonomi tumpuan kerajaan negeri kebanyakan di kawasan selatan berbanding di utara Selangor.
“Sedangkan di bahagian utara negeri di sebelah pantai barat membabitkan Sungai Besar hingga ke Sabak Bernam dan sempadan Hulu Selangor di Perak, tidak diberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang baik oleh kerajaan negeri.
“Saya tidak melihat bajet yang menarik dibentangkan kali ini. Kerajaan negeri dilihat pilih kasih dengan meninggalkan rakyat Selangor yang tinggal di bahagian utara. Ini potong ‘corner’ punya bajet.
“Malah tiada kawasan pembangunan ekonomi baru dilaksana kecuali yang sedia ada seperti di Sepang, Serendah dan Subang yang sudah kita ketahui ia dilakukan oleh BN sebelum ini.
“Kita mahu bajet untuk seluruh rakyat Selangor merasainya bukan sebab perbezaan politik. Ini bukan soal Umno dan BN tetapi soal untik rakyat Selangor di kawasan itu,” ujarnya ketika ditemui media selepas sesi pembentangan Bajet Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri, Shah Alam semalam.
Tambah Mat Nadzari lagi, dengan infrastruktur yang baik meliputi kawasan dan daerah di Selangor ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi rakyat dipersekitaran jajaran infrastruktur jalan raya yang dibina seperti dirancang kerajaan negeri dengan peruntukan RM48.95juta.
Beliau merujuk kepada perancangan Kerajaan Negeri dalam Bajet Negeri Selangor 2018 yang akan meneruskan pelaksanaan projek jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting dengan peruntukan RM13juta serta projek menaiktaraf jalan dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama dengan peruntukan RM16.5juta. Kos projek bagi kedua-dua pembangunan ini adalah RM272 juta.
Manakala Daerah Gombak akan menikmati jalan-jalan baru dan jalan-jalan yang dinaiktaraf dengan peruntukan berjumlah RM36.7 juta. Jalan baru menghubungkan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital Sungai Buloh akan dibina dengan kos RM5juta. Projek menaiktaraf jalan Kampung Lombong di Daerah Klang dan Kuala Langat yang menelan kos pembinaan RM16 juta akan dilaksanakan dalam tahun 2018.
Bagi rangkaian perhubungan jalan raya pula, Kerajaan Negeri akan membina jalan-jalan baharu dengan peruntukan RM 32.4 juta termasuk projek membina jalan sambungan Kota Warisan melibatkan peruntukan RM10juta, projek membina jalan dari Kajang ke Kampung Pasir, Sungai Lalang melalui perkampungan Naqasabandiah bernilai RM1.3 juta dan projek membina jalan sambungan Sungai Kelambu ke Genting Sanyen bernilai RM1juta.
Bajet yang dibentangkan oleh Mohamed Azmin itu memperincikan 53.2% atau RM1.66 bilion Bajet 2018 Selangor telah diperuntukkan untuk pembangunan manakala 46.8% atau RM1.46 bilion adalah untuk tujuan pentadbiran.
Yang mana sejumlah RM74 juta (44.9%) daripada peruntukan Belanja Pembangunan khusus untuk infrastruktur termasuk projek pembinaan baharu dan menaiktaraf jalan dan jambatan, projek tebatan banjir, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air.