Malaysia Dateline

Pembangunan hartanah kekal jadi teras PKNNS

Kerajaan Negeri Sembilan mahu agar pembangunan hartanah, kekal terus menjadi aktiviti teras Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ini susulan kejayaan yang ditempa PKNNS semenjak ditubuhkan 50 tahun dahulu, dengan kejayaan pelbagai projek hartanah seperti Bandar Baru Serting dan Taman Serting Indah di Jempol, Bandar Baru Seremban 2 dan Taman Bukit Chedang, Seremban dan Taman Dato’ Lela Maharaja di Rembau.

PKKNS juga katanya merupakan perintis kepada pembangunan kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian Dioh di Kuala Pilah, kawasan perindustrian Nilai serta kawasan perindustrian Sungai Gadot, Seremban, yang telah dibangunkan badan itu.

“Sepanjang 50 tahun ini, peranan PKNNS dalam menerajui pembangunan sosio ekonomi Negeri Sembilan dapat dibahagikan kepada tiga tahap utama, iaitu tahap transisi, tahap transformasi dan tahap modenisasi.

“Setiap tahap berkenaan menyerlahkan peranan dan sumbangan PKNNS secara tersusun dan berasaskan keperluan semasa.

‚ÄúDalam jangka masa 50 tahun juga, PKNNS memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan dan memartabatkan pembangunan, walaupun terpaksa berhadapan dengan onak duri dan cabaran,” katanya pada Majlis Makan Malam Jubli Emas PKNNS yang turut dihadiri Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik.

Penubuhan PKNNS pada 22 Mac 1969 adalah sebagai sebuah institusi penggerak dalam menjana kemajuan ekonomi negeri dan melestarikan kesejahteraan sosial masyarakat di Negeri Sembilan

— BERNAMA