Malaysia Dateline

Pembangunan Kampong Baru tiada agenda tersembunyi

Usaha membangunkan Kampung Baru tidak bermotifkan agenda tersembunyi, sebaliknya ia dilaksanakan bertujuan mencapai objektif asal terhadap kampung berusia 119 tahun di tengah ibu kota itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad ketika temu bual bersama Agenda Awani berkata, objektif asal tersebut adalah untuk menentukan adanya penempatan masyarakat Melayu di pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

“Sekarang ini, kalau kita lihat kepada jumlah penduduk orang Melayu tidak bertambah sebanyak kerana kepadatannya di kawasan kampung tersebut, tetap lebih kurang 90 orang untuk satu ekar tanah.

“Sedangkan di kawasan sekitarnya, kawasan tanah-tanah yang bukan Melayu (yang terbuka sama ada Melayu atau bukan Melayu juga dibenarkan) kepadatannya untuk satu ekar itu pula boleh mencecah sehingga 600 orang.

“Ini hasil daripada pembangunan yang berlaku, bermakna peratusan jumlah penduduk Melayu di kampung itu semakin lama menjadi semakin mengecil,” katanya dalam rancangan temu bual Agenda Awani, malam tadi yang bertajuk ‘Pembangunan Semula Kampong Bharu’.

Dalam perkembangan sama, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH turut menyatakan bahawa pembangunan yang mahu dilakukan itu bukanlah bertujuan untuk menipu mana-mana pihak.

“Ini (pembangunan) bukan satu usaha silap mata, nak menipu, nak ambil tanah orang Melayu dan sebagainya, tetapi ianya satu usaha bersungguh-sungguh dan itulah antara sebab kenapa 21 September ini kita akan mengadakan satu sesi town hall beserta model tiga dimensi (3D) contoh pembangunan yang hendak dijalankan.

“Kita juga siap panggil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk datang bertemu penduduk, pemilik dan pewaris sekali gus menunjukkan kami ini benar-benar serius ingin membangunkan Kampung Baru,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk membangunkan kampung itu demi menentukan kepadatan penduduk Melayu sama dengan kawasan di sekelilingnya.

“Maka usaha kami adalah, mahu mencapai semula objektif asal iaitu membangunkan Kampung Baru dengan menentukan bahawa kepadatan penduduk Melayu setanding dengan kawasan sekitarnya.

“Justeru itu, jumlah penduduk Melayu yang duduk di kampung tersebut akan bertambah. Jadi, saya harap penduduk, pemilik dan pewaris masih lagi memahami hasrat di sebalik pembentukan kampung tersebut dan bekerjasamalah dengan kami dalam usaha untuk membangunkan Kampung Baru ini,” katanya.