Malaysia Dateline

Pembangunan Kampong Bharu: PN buat helah, Annuar ibarat meludah ke langit

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi

AMANAH Titiwangsa menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya membuat helah sekali gus tidak serius untuk membangunkan tanah milik orang Melayu di Kampong Bharu yang berprofil tinggi itu.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa seperti meludah ke langit akhirnya terkena ke muka sendiri apabila tidak dapat melaksanakan tawaran pembelian tanah RM1,000 sekaki persegi.

“Sewaktu menjadi pembangkang, beliau sendiri pernah mengatakan bahawa harga pasaran tanah Kampong Bharu adalah sekitar RM3,000 sekaki persegi.

“Tetapi kini setelah menjadi Menteri Wilayah, harga RM1,000 yang ditawarkan oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) itu pun tidak mampu untuk beliau tunaikan dengan pelbagai alasan yang remeh,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad sebelum ini telah mengemukakan tawaran kepada pemilik tanah Kampong Bharu untuk membeli tanah terlibat dalam pembangunan semula pada harga RM1,000 sekaki persegi.

Kadar itu melibatkan RM850 adalah secara pulangan tunai manakala baki RM150 adalah pulangan kepada pemilik tanah dalam bentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).

Kerajaan PH turut mengemukakan tambahan tawaran lain iaitu potongan 15 peratus bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan di Kampong Bharu.

Pelan pembangunan kampung warisan Melayu oleh kerajaan PH yang lebih telus dan praktikal itu menggalakkan penduduk Kampong Bharu untuk terus menetap di situ dan mempunyai pegangan di atas tanah mereka.

Beberapa siri libat urus dan sesi townhall dengan pemilik serta pewaris tanah telah diadakan oleh Khalid bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) sebelum ini.

Pasaran semasa

Mengulas lanjut, Zamri yang juga Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan berkata, sebahagian besar pemilik telah menyatakan persetujuan kepada model pembangunan yang dicadangkan itu melalui borang maklum balas yang dihantar.

“Hakikatnya, cadangan pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan PH itu dilihat lebih telus dan praktikal mengikut pasaran semasa hartanah milik Bumiputera di bandaraya Kuala Lumpur ini.

“Namun begitu, proses pembangunan secara berperingkat-peringkat yang sepatutnya bermula pada bulan Jun tahun ini telah terhenti lantaran peralihan kerajaan yang memerintah hasil dari Langkah Sheraton yang berlaku pada akhir Februari lalu,” jelasnya.

Sehubungan itu, AMANAH Titiwangsa, katanya, berharap agar isu pembangunan Kampong Bharu tidak lagi dipolitik dan dipolemikkan oleh kerajaan PN demi mengaut keuntungan politik sempit.

Menurutnya, isu tersebut perlu ditangani segera sebaik mungkin bagi memastikan hak milik kekal kepada orang Melayu di samping meningkatkan nilai ekonomi dan hartanah Bumiputera yang sudah lama terpendam di dasar tanah Kampong Bharu.

“Janganlah isu pembangunan Kampong Bharu ini dijadikan modal politik untuk kesekian kalinya bagi menghadapi pilihan raya, tanpa sebarang solusi yang tuntas serta perancangan yang telus bagi memelihara milikan orang Melayu di kawasan yang sangat strategik dan eksklusif di bandaraya Kuala Lumpur ini,” kata Ahmad Zamri lagi.