Pembangunan Kampung Baru: Pemilik Melayu akan bertambah 10 kali ganda

Pembangunan Kampung Baru: Pemilik Melayu akan bertambah 10 kali ganda

Jumlah keluarga dan pemilik tanah berbangsa Melayu dilihat akan bertambah sebanyak 10 kali ganda sekiranya projek pembangunan Kampung Baru dilaksanakan di kampung yang berusia 119 tahun itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad hari ini menjelaskan, projek di kampung yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan itu akan menjamin bahawa hartanah milik orang Melayu akan bertambah.

“Pertambahan itu disebabkan daripada rumah setingkat, dua tingkat atau pun lima tingkat itu, kita akan bangunkan kepada rumah mampu milik yang disyaratkan memang untuk orang Melayu dan jumlahnya juga akan bertambah sebanyak 10 kali ganda.

“Kalau sekarang ini ada satu lot tanah yang mana dalam satu lot itu, hanya ada dua keluarga boleh duduk. Kalau ia dibangunkan, maka yang dua keluarga itu boleh bertambah menjadi sehingga 20 keluarga kerana tempat tersebut sudah menjadi bangunan besar, tinggi dan mempunyai banyak apartment.

“Sebagai contoh, nilai tapak tanah untuk dua keluarga itu, nilai membolehkan mereka membeli sehingga 20 unit apartment dan pada masa sama, syarat-syaratnya juga dikekalkan (hak milik Melayu).

“Jadi, dengan pelaksanaan projek pembangunan di Kampung Baru, jumlah keluarga Melayu dan pemilik berbangsa Melayu akan bertambah hampir 10 kali ganda.

“Pada saya, dakwaan bahawa projek ini merupakan satu usaha untuk menghalau orang Melayu keluar daripada kawasan Kuala Lumpur, adalah dakwaan yang cukup meleset dan tidak tepat,” katanya.

Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH menjelaskan demikian dalam segmen Bicara Petang Bernama Radio yang bertajuk ‘Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baru’, hari ini.

Pada 22 April lalu, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Beliau berkata, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Sejarah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada 1899, melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Kampung Baru telah ditubuhkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur daripada sebuah kampung lombong timah kepada sebuah bandar utama.