Malaysia Dateline

Pembangunan koperasi harus setaraf syarikat di Malaysia

Pembangunan koperasi di Malaysia harus diperkasa untuk memastikan institusi berkenaan dapat memberi sumbangan yang lebih baik kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata buat masa ini, sumbangan koperasi kepada KDNK adalah sekitar empat peratus yang mungkin dikekang pertumbuhannya oleh struktur perundangan dan sebagainya.

“Oleh itu, saya berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dapat melihat perkara ini agar struktur koperasi dapat diselaraskan supaya sama tarafnya dengan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (Koprojaya) Kali kelima, di sini, hari ini.

Mengenai Koprojaya, Ismail berkata, koperasi berkenaan seharusnya memanfaatkan kekuatannya termasuk melihat model perniagaan baharu.

“Contohnya, termasuklah pendanaan awam, kerana model perniagaan hari ini kita lihat banyak melaksanakan ‘demokrasi modal’ dan ini boleh diteroka Koprojaya untuk menjadi lebih bersemangat pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai pelan Koprojaya untuk melaksanakan projek penanaman nanas, katanya konsep pendanaan awam boleh dilaksanakan dengan mengumpul modal daripada ahli koperasi berkenaan untuk dilaburkan.

“Model pendanaan awam daripada ahli sudah dilaksanakan di beberapa negara maju untuk mendapatkan modal dan pulangan akan diberi kepada ahli,” katanya.

— BERNAMA