Pembangunan pesat timbulkan konflik hidupan liar, kata Perhilitan

Pembangunan pesat timbulkan konflik hidupan liar, kata Perhilitan

Aktiviti pembandaran dan pembangunan pesat di sekitar Lembah Klang telah menimbulkan konflik kepada hidupan liar yang terancam habitat asal sehingga ‘berebut’ tempat tinggal dengan manusia.

 Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Fakhrul Hatta Musa berkata pihaknya sering menerima aduan awam berkenaan hidupan liar seperti kera, tupai, musang, beruk, ular dan babi hutan yang mengganggu kediaman mereka.

 “Kawasan yang diganggu boleh terjadi di mana-mana saja terutamanya kawasan perumahan.

 “Bagaimanapun, jumlah aduan gangguan hidupan liar yang paling tinggi diterima oleh pihak Perhilitan ialah spesies kera,” katanya kepada Bernama.

 Fakhrul Hatta berkata pada tahun ini setakat Mei, sebanyak 519 aduan gangguan kera diterima di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

 Beliau berkata pada tahun lepas pula, pihaknya menerima sebanyak 1,297 aduan kes gangguan spesies itu di sekitar Lembah Klang.

 Fakhrul Hatta berkata sejak tahun 2011, Perhilitan telah menerima sebanyak 21,032 aduan gangguan kera yang perlu dipindahkan dan dihapuskan.

 “Kesemua kera yang dihapuskan kemudian akan dimasukkan ke ‘insinerator’ di Paya Indah Wetland Dengkil,” katanya.

 Beliau berkata salah satu faktor konflik hidupan liar adalah berpunca daripada aktiviti pembukaan kawasan baharu yang menyebabkan habitat binatang terganggu.

TAGS