Malaysia Dateline

Pembangunan sekolah sukan perlu diberi perhatian dan disegerakan

Peruntukan untuk sekolah sukan dalam Belanjawan 2022 dilihat masih berada pada kadar yang sama seperti tahun sebelum ini dan tiada bajet pembangunan yang diperuntukkan.

Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional, Syazmir Hariz Noorazalan berkata, biarpun isu pembangunan sekolah sukan dianggap terpencil dalam pendidikan, namun ia mampu memberi impak negatif yang besar jika dikesampingkan.

Katanya, kerajaan perlu menyedari bahawa masih terdapat sekolah sukan yang masih lagi berada pada tahap yang menyedihkan walaupun lokasi sekolah terletak di bandar-bandar.

“Masih ada sekolah sukan yang tidak mempunyai dewan serbagunanya sendiri. Sekolah ini bukan di kampung tapi di bandar. Sangat menyedihkan.

“Bayangkan ada sukan yang sepatutnya diadakan di dalam dewan, tetapi terpaksa menggunakan gelanggang terbuka yang tak berbumbung sebagai solusinya.

“Situasi ini bukannya baru, sudah makan tahun dan sepatutnya peruntukan pembangunan bagi menaik taraf sekolah sukan perlu disegeraka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Syazmir berkata, dengan jumlah sekolah sukan yang ada sekarang ini ia masih belum cukup untuk menampung keperluan pasaran sukan pada masa akan datang.

Akibat daripada terhadnya sekolah sukan, ia menyebabkan negara terlalu bergantung pada pemain-pemain tertentu kerana kurangnya pelapis yang disediakan.

“Usaha untuk menambah sekolah sukan dan menaik taraf sekolah sukan sedia ada akan membuktikan bahawa sistem Pendidikan kita masih menekankan aspek sukan sebagai salah satu kecemerlangan pelajar di sekolah,” ujarnya lagi.