Malaysia Dateline

Pembantu Perawatan Kesihatan tidak berfungsi, dakwa pelawak komediri

Pelawak komediri Dr Jason Leong hari ini mendedahkan bagaimana doktor pelatih dibuli semasa beliau bertugas di hospital awam kerana para pembantu perawatan kesihatan (PPK) tidak memainkan peranan yang sepatutnya.

“Semasa saya menjadi doktor pelatih, kami terpaksa menjalankan tugas yang sepatutnya dijalankan oleh PPK seperti menghantar sampel darah ke makmal, menghantar pesakit ke dewan bedah, kumpul darah dari tabung darah dan sebagainya.

“PPK sangat malas dan tidak diambil tindakan.

“Seorang rakan doktor pelatih yang meluat kerana terpaksa memainkan peranan PPK pernah menyoal mengenai bilangan PPK di wad dia bekerja dan terkejut apabila mengetahui ada lima orang,” ciapnya di Twitter.

Beliau pernah menjadi doktor sebelum menceburi bidang komediri sepenuh masa.

Sehubungan itu, Leong menegaskan bahawa amalan membuli doktor pelatih perlu segera dihentikan.

“Saya pasti budaya toksik ini masih berleluasa di KKM hari ini.

“Doktor pelatih yang dibuli akan menjadi pegawai atasan yang tidak berperi kemanusiaan,” tambahnya.

Isu tersebut adalah antara yang perlu diberi perhatian oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Menteri yang baru dilantik itu dilaporkan sedang dalam proses mengkaji kaedah untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Leong bukan orang pertama yang membangkitkan kepincangan berkenaan sistem rawatan kesihatan negara kita.

Mantan dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Adeeba Kamarulzaman mendedahkan bahawa universiti itu kehilangan 30 pelajar perubatan terbaiknya kepada Singapura setiap tahun.

Ini berlaku kerana ketiadaan peluang kerjaya dan latihan yang jelas untuk doktor, jururawat dan pekerja sektor kesihatan yang memaksa mereka mencari peluang kerjaya yang lebih baik di luar negara.

Baca juga Menteri Kesihatan bakal duduk semeja dengan doktor kontrak