Pembantu warden kes kematian Thaqif bebas kerana tak cukup bukti

Pembantu warden kes kematian Thaqif bebas kerana tak cukup bukti

Pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang direman bagi siasatan kes pukul pelajar berusia 11 tahun, dibebaskan dengan bon mahkamah semalam kerana tiada keterangan yang mencukupi untuk mendakwanya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan Jabatan Peguam Negara.

“Perkara ini bila kita bawa berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mendapati tidak cukup keterangan untuk kita teruskan (dakwaan) di bawah Seksyen 302, sebab itu mahkmah membenarkan dia (suspek) dijamin bon mahkamah.

 “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302,  tetapi sama ada pertuduhan boleh dibuat atau tidak  itu perkara kedua,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Pegawai-pegawai Aset Polis Diraja Malaysia (PRDM), di sini semalam.

Di Kota Tinggi, kelmarin, Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari membenarkan permohonan polis untuk membebaskan suspek lelaki berusia 29 tahun itu dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu, Khalid meminta ibu bapa dan guru untuk menyalurkan maklumat segera kepada polis jika mengesyaki anak-anak mereka terlibat dalam  gengsterisme bagi mencegah aktiviti negatif itu daripada terus  menular di sekolah-sekolah.

“Kita tahu masalah ini wujud, kita mahu selesaikan ia dari bawah, kita kembali kepada keluarga dalam menangani masalah ini (gengster), jika ada ibu bapa  mengesyaki ada anak-anak terlibat, datang jumpa kita (polis).

“Bukan kita nak tangkap dan rosak masa depan mereka, kita perlu buat sesuatu betulkan keadaan di peringkat awal sebelum mereka menjadi mangsa kumpulan haram ini,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membendung masalah gengster di sekolah.

Khalid turut mengesahkan polis menahan tiga penuntut di Sungai Petani, Kedah kerana disyaki terlibat dalam aktiviti gengster hari ini.

Mengulas tentang penahanan dua lelaki warga Turki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti mengancam keselamatan negara ini semalam, Khalid berkata mereka kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Saya tidak mahu komen mengenai apa yang mereka lakukan, yang pasti mereka mengancam keselamatan negara,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

COMMENTS

Wordpress (0)