Malaysia Dateline

Pembatalan projek ECRL, MPP,TSGP segera ambil tindakan terhadap Najib

Susulan keputusan kerajaan membatalkan projek laluan rel pantai timur (ECRL) serta projek saluran paip pelbagai produk petroleum (MPP) dan saluran gas paip trans-Sabah (TSGP), mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu harus segera disiasat.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas mengagihkan daging korban kepada penduduk dalam kawasan Dun Permatang Pasir semalam.

Jelas Faiz lagi, projek-projek tersebut melibatkan kos yang tinggi sehingga mencecah RM55 bilion bagi ECRL serta RM9.4 bilion bagi projek saluran paip MPP dan TSGP.

Sehubungan itu katanya, kerajaan digesa supaya segera menyiasat sama ada wujud kesalahan jenayah dan salah guna kuasa dalam keputusan pelaksanaan projek-projek tersebut setelah dibimbangi terdapat unsur-unsur yang meragukan.

“Projek ECRL didakwa melebihi kos asal yang dianggarkan sekitar RM30 bilion.

“Manakala projek saluran paip MPP dan TSGP pula melibatkan terma kontrak yang luar biasa dimana bayaran dibayar mengikut tempoh dan bukannya kemajuan kerja.

“Adalah difahamkan 88 peratus bayaran telah pun dibuat sedangkan kemajuan kerja hanya mencapai tahap 13 peratus, ” ujarnya lagi.

Tegas beliau lagi, walaupun sebahagian bayaran telah pun dibuat bagi projek-projek tersebut, namun pembatalan projek ini dapat mengekang kerugian lebih besar sekiranya ia diteruskan.

Disamping itu tegasnya, tindakan pembatalan yang diambil oleh kerajaan akan meyakinkan pelabur domestik serta antarabangsa bahawa Malaysia Baharu akan menyediakan platform yang lebih telus dan terbuka tanpa kompromi dengan unsur penyalahgunaan kuasa mahu pun korupsi.

Tambahnya, penjimatan pembatalan projek tersebut boleh dimanfaatkan bagi pelaburan dalam projek lain yang mempunyai ‘multiplier effect’ yang tinggi kepada rakyat dan menjamin kedudukan fiskal kerajaan yang lebih stabil.

Hasil rundingan dengan kerajaan China baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed telah mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan membatalkan projek kerjasama ECRL, MPP dan TSGP yang melibatkan kos terlalu tinggi bagi mengurangkan beban rakyat khususnya generasi muda dari menanggung hutang puluhan bilion ringgit yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional.