Malaysia Dateline

Pembatalan projek ECRL tidak jejas hubungan dengan China

Keputusan kerajaan memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pada Julai, tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan China.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata ini kerana kerajaan telahpun memberikan gambaran tentang keputusan itu kepada kerajaan China semasa lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu pada Ogos tahun lepas.

“Mereka memahaminya dan sebab itu bermula masa itu lagi, kita tumpu kepada usaha untuk menarik lebih ramai pelabur China ke kawasan pelaburan lain di negara ini termasuk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sehari Menyemai Bakti di Kampung Sungai Ular, semalam.

Saifuddin mengulas tentang keputusan kabinet minggu ini yang memuktamadkan pembatalan projek ECRL setelah mendapati kosnya terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.

Pada masa sama, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata bagi mengimbangi soal kekurangan peluang pekerjaan di daerah Kuantan khasnya ekoran pembatalan itu, pihaknya akan mempergiatkan usaha menarik pelabur China di MCKIP.

“Walaupun ECRL dibatalkan, kita tetap mahu meneruskan agenda untuk menjadikan Kuantan sebagai hub perindustrian Pantai Timur dan untuk tujuan itu kita akan beri tumpuan kepada pembangunan MCKIP.

“Setakat ini hanya satu tapak dibangunkan daripada tiga tapak yang disediakan di MCKIP dan satu tapak itupun hanya 25 peratus sahaja digunakan iaitu untuk membina kilang Alliance Steel. Kita masih banyak ruang untuk memajukannya.

“Kita juga masih mempunyai ruang yang besar di Pelabuhan Kuantan dan semua ini mampu menarik pelaburan baharu khususnya pelabur China dan ini fokus kita, ” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan bahawa perdana menteri telah melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Pahang bermula 1 Jan lalu. Majlis itu dibentuk untuk membuktikan kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah mengetepikan soal pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Menurutnya, anggota mesyuarat majlis berkenaan akan dilantik dalam masa terdekat dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada 11 Feb.

— BERNAMA