Malaysia Dateline

Pembebasan Ahmad Maslan bersifat dua darjat kepada rakyat biasa

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sepatutnya tidak mencambahkan lagi imejnya yang telah tercalar dengan pelbagai kelemahan demi kelemahan dan terus tercalar sepertimana yang sedang dipertontonkan kepada rakyat tatkala ini.

Penarikan semula pendakwaan terhadap Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian amat mengecewakan seolah-olah ada bezanya antara rakyat bawahan dengan golongan politik dibawah kepimpinan kerajaan sedia ada.

Menurut Pengarah Mobilisasi AMANAH Pulau Pinang, Rosli Hasan, membebaskan Ahmad Maslan membuktikan wujudnya ‘double standard’ dalam sistem keadilan negara.

“Penarikan semula pendakwaan terhadap Ahmad Maslan yang dituduh tidak mengisytiharkan sejumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak adil dan tidak wajar sama sekali.

“Sekiranya beliau boleh diberi tawaran kompaun dan dibebaskan maka sudah pasti rakyat juga mahukan perkara yang sama dilaksanakan terhadap mereka dan bukannya bersifat dua darjat yang membezakan hukuman kepada penyokong kerajaan dan rakyat biasa.

“Tidak dapat dinafikan sekiranya teladan yang dipamerkan melalui sistem keadilan kini dijadikan praktikal, ia sudah pasti akan mencelarukan lagi keadaan serta integriti dan kredibiliti sedia ada tidak lagi diyakini oleh rakyat,”tegas beliau ketika dihubungi.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan Datuk Ahmad Maslan daripada pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang telah diterimanya daripada Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN serta juga memberi kenyataan palsu kepada SPRM dan ia dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan dengan kompaun sebanyak RM1.1 juta.