Malaysia Dateline

Pembebasan Palestin perjuangan semua kaum, agama

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan perjuangan membebaskan Palestin daripada kezaliman Israel adalah merentas kaum dan agama.

Menurut Presiden AMANAH itu, semua rakyat Malaysia bersatu bersama dengan perjuangan rakyat Palestin.

“Hari ini perjuangan membebaskan Palestin bukan sekadar perjuangan ummat Islam, tetapi semua kaum dan agama yang sama-sama menentang penindasan dan rampasan hak rakyat Palestin bersatu menolak tindakan Israel.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, kita bersatu tanpa mengira perbezaan fahaman politik untuk bersama dengan rakyat Palestin.,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan Malaysia konsisten bersama dengan perjuangan membebaskan dan memberi hak kepada Palestin.

“Sepanjang hampir dua tahun ini, Perdana Menteri membawa isu Palestin di Persidangan Agung PBB tahun 2018 dan 2019, di Persidangan NAM dan KL Summit yang lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas kunjungan pemimpin utama Pergerakan Hamas Palestin, Sheikh Ismail Haniyeh bersama delegasi beliau ke Malaysia hari ini.

Menurutnya, kunjungan kedua pimpinan Hamas dalam rangka lawatan bertemu Perdana Menteri di Putrajaya itu selepas kerajaan menerima kunjungan Khalid Mash’al di Kementerian Pertahanan tahun lalu.

Turut hadir meraikan Ismail ialah Menteri Pertanian, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden AMANAH.

“Ismail merupakan bekas Perdana Menteri Palestin selepas Hamas memenangi pilihanraya kali pertama pada tahun 2006 sehingga 2014.

“Beliau (Ismail) menyambung perjuangan pemimpin terdahulu seperti Sheikh Ahmad Yasin dan Dr Abdul Aziz Rantisi yang telah pun dibunuh dan konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin yang dijajah Israel sejak sekian lama,” kata Mohamad lagi.